Nik Faisal berada di Hong Kong: KPN

 Nik Faisal Ariff Kamil
Nik Faisal Ariff Kamil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil yang diburu bagi membantu siasatan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta dikenal pasti berada di Hong Kong.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sudah menulis surat kepada pihak berkuasa Hong Kong untuk membantu penahanan Nik Faisal, namun maklum balas yang diterima pihaknya adalah negatif.

"Kita telah banyak buat permintaan dengan pelbagai cara, tambahan lagi kita beri butiran tertentu tetapi maklum balas kita terima daripada mereka (polis Hong Kong) negatif.

"Itu antara kekangan kita untuk membawa balik dia (Nik Faisal)," katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Menjelaskan tentang hubungan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan polis Hong Kong, Abdul Hamid memberitahu, sebelum ini kerjasama yang diberikan polis Hong Kong adalah amat baik terutama melibatkan kes jenayah dan komersial termasuklah penganjuran perlawanan persahabatan ragbi.

Namun katanya, bagi kes ini tidak dipastikan mengapa pihak berkuasa negara itu sukar memberikan kerjasama.

Mengulas tentang lokasi terkini ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, beliau berkata, perkara itu masih belum dapat dipastikan.

"Namun usaha memburunya tidak akan dilonggarkan. Saya akan berusaha. Kita akan berbuat sesuatu dan saya tidak akan beralah dalam kes ini kerana wang yang diambil atau dicuri ini adalah begitu besar.

Artikel Berkaitan:

"Bukan sahaja Jho Low, tapi empat atau lima orang lagi saya tahu. Ada yang berulang-alik dari Kampuchia, Taiwan dan Thailand. Saya terus memotivasikan pasukan saya dan saya tidak akan putus asa," katanya.

Terdahulu, Nik Faisal dilaporkan meninggalkan negara pada 7 Mei 2018, manakala Jho Low pula pada 29 Mei 2015.

Susulan itu, waran tangkap terhadap Nik Faisal dan Jho Low dikeluarkan pada 22 Mei 2018 bagi mendapatkan bantuan polis antarabangsa (Interpol) menahan kedua-dua mereka.