Kematian Adib: PDRM cadang tubuh pasukan kajian semula

Abdul Hamid pada sidang media berkenaan beberapa isu semasa di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
Abdul Hamid pada sidang media berkenaan beberapa isu semasa di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewujudkan pasukan kajian semula bagi meneliti keterangan saksi berhubung kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Mahkamah Koroner sebelum ini telah memutuskan kematian Muhammad Adib berpunca perbuatan jenayah.

Menurutnya, lanjutan keputusan inkues itu, siasatan telah dijalankan dengan memanggil kesemua 30 orang saksi yang terlibat semasa perbicaraan inkues selain 52 lagi saksi baharu yang telah direkodkan percakapan mereka.

"Polis turut memanggil dua orang pegawai bomba yang berada di lokasi kejadian berhampiran dengan arwah. Pegawai terbabit secara konsisten mengatakan tidak nampak orang yang memukul arwah. Jadi, tiada keterangan yang dapat mengaitkan arwah dibunuh.

“Pakar dari Institut Jantung Negara (IJN) juga sudah hadir bagi dirakam percakapan dan memperakui arwah Muhammad Adib tidak dapat berkomunikasi secara efektif," katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya juga telah mengambil keterangan semula salah seorang saksi bagi perbicaraan inkues yang mendakwa melihat Muhammad Adib dipukul.

Bagaimanapun katanya, ketika keterangan direkodkan saksi itu memberitahu perkara sebaliknya.

"Saya tidak ingin melengahkan. Saya mahu mencari kebenaran tetapi banyak kekangan, bantulah jika ada maklumat. Mustahil tidak ada seorang pun yang melihat semasa kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan berusaha untuk selesaikan kes ini. Sesiapa yang ada makumat berkenaan kejadian itu, saya minta tampil bantu kami (polis)," katanya.