MHC terima tajaan RM1.5 juta daripada Puma

Subahan ketika sidang media mengumumkan penajaan Puma berjumlah RM1.5 juta bagi pakaian pasukan Hoki Malaysia untuk tiga tahun bermula 2021 di Stadium Hoki Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
Subahan ketika sidang media mengumumkan penajaan Puma berjumlah RM1.5 juta bagi pakaian pasukan Hoki Malaysia untuk tiga tahun bermula 2021 di Stadium Hoki Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menerima suntikan tajaan daripada pengeluar kasut dan pakaian sukan terkemuka, Puma, bernilai RM1.5 juta untuk tempoh tiga tahun mulai tahun depan.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, jenama Jerman itu akan menjadi pakaian rasmi skuad kebangsaan khususnya ketika skuad lelaki sedang membuat persiapan bagi menghadapi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh, November ini.

Walaupun tajaan tersebut bermula secara rasmi tahun depan tetapi Subahan berkata, skuad Speedy Tigers itu dapat memakai jenama itu sebelum ke Dhaka.

“Tajaan sebanyak RM500,000 setahun itu termasuk jersi, pakaian trek dan stokin untuk semua skuad negara manakala pemain mempunyai pilihan kasut dan kayu hoki masing-masing,” katanya pada sidang media selepas majlis pertukaran dokumen tajaan antara MHC dan Puma di Stadium Hoki Nasional di sini, hari ini.

Puma diwakili oleh Pengurus Active Sports Centre, S. Murugeson iaitu wakil tajaan dan hal ehwal korporat jenama itu di Malaysia.

Jersi baharu skuad kebangsaan sedang dalam proses reka bentuk dan dijangka dilancarkan pada hujung Oktober ini.

Dalam perkembangan lain, Subahan, berkata jurulatih baharu bagi skuad wanita negara akan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan MHC esok.

Beliau turut mengesahkan semua pemain negara yang mengambil ujian calitan koronavirus (Covid-19) awal minggu ini didapati negatif. - Bernama

Artikel Berkaitan: