Covid-19: Lima kes baharu penularan tempatan, lapan kes import

Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media status terkini penularan wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media status terkini penularan wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan lima kes koronavirus (Covid-19) membabitkan tiga rakyat tempatan dan dua warga asing selepas dua hari berturut-turut sifar penularan tempatan.

Selain itu, KKM juga mencatatkan lapan kes import melibatkan rakyat Malaysia dan pemastautin tetap yang pulang dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan 13 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 8,696 kes.

"Sebanyak 64 kes sedang dirawat di hospital," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penularan tempatan, beliau berkata, dua kes dikesan terhadap kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak manakala satu kes lagi merupakan saringan sebelum memulakan tugas di Kuala Lumpur.

"Dua kes pula dikesan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil membabitkan orang kena tahan dan bakal dihantar pulang ke negara masing-masing," katanya.

Menurutnya, sehingga kini terdapat dua kes dirawat di unit rawatan rapi dan memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, kes kematian berkaitan Covid-19 kekal 121 kes selepas tiada pertambahan selama 26 hari berturut-turut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, terdapat 12 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad ialah 8,511 kes. Ia bersamaan dengan 97.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM akan terus memantau penyakit Covid-19 walaupun kes semakin kurang.

"Ujian pengesanan Covid-19 dijalankan secara berterusan untuk mengesan kes baharu dalam kalangan komuniti termasuk melalui sistem survelan klinikal seperti pengesanan kes SARI di hospital," katanya.