X

Kindly register in order to view this article
!

Cuepacs cadang had gaji minimum berpandukan PGK baharu

Adnan Mat
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu membuat penilaian semula terhadap penetapan had gaji minimum pekerja di negara ini berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional baharu seperti yang diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini iaitu pada kadar RM2,208.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, cadangan itu dikemukakan kerana had gaji minimum pekerja ketika ini masih lagi di bawah PGK baharu.

Beliau berkata, berdasarkan nilai baharu PGK ini, seramai 405, 441 isi rumah di negara ini dilaporkan berada pada paras kemiskinan.

"Jika kita lihat gaji minimum di sektor swasta ketika ini ditetapkan pada paras RM1,200 sebulan, sementara gaji permulaan asas penjawat awam tanpa mengambil kira elaun juga RM1,200 sebulan.

"Ini bukan sesuatu yang harus dibanggakan jika gaji yang diterima golongan pekerja masih lagi di bawah PGK baharu.

"Ada yang bekerja berbelas tahun tetapi gaji yang dinikmati mereka masih lagi di bawah atau sama dengan nilai PGK baharu ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan akhbar hari ini memberitahu, nilai purata PGK nasional bagi 2019 ialah pada kadar RM2,208 iaitu dalam kelompok 10 peratus terbawah isi rumah.

Adnan berkata, sekiranya dibuat perbandingan dengan nilai PGK baharu ini, dapat disimpulkan bahawa gaji minimum yang ditetapkan di Malaysia sebenarnya di bawah paras garis kemiskinan.

Katanya, tidak kira sama ada mereka bekerja di sektor awam atau swasta, kedua-dua golongan pekerja tersebut merupakan rakyat Malaysia yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

"Namun Cuepacs tidak mahu mengemukakan apa-apa cadangan mengenai nilai atau had gaji minimum yang baharu dan patut kerajaan tetapkan berdasarkan nilai PGK baharu ini kerana bimbang ia akan disalah erti oleh pihak-pihak tertentu.

"Cuma kami berpandangan adalah wajar kerajaan menilai semula gaji minimum golongan pekerja di negara ini terutama melibatkan penetapan had gaji minimum sekiranya kita menjadikan PGK itu sebagai rujukan," katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, Cuepacs menggesa agar semua kakitangan kerajaan melihat penetapan PGK yang baharu ini sebagai cabaran dalam meningkatkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Penjawat awam perlu bersedia untuk menyediakan diri mereka dengan ilmu dan teknologi baharu termasuk melengkapkan pengetahuan kemahiran dalam aspek kepenggunaan serta pengurusan kewangan.

"Majikan juga disarankanmenyediakan dan menggalakkan penjawat awam sertai kursus peningkatan kemahiran diri yang kemudiannya boleh dimanfaatkan untuk menjana ekonomi diri dan keluarga," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus