Enam petugas Al Jazeera selesai beri keterangan

Seorang wartawan (tengah) daripada enam kakitangan stesen penyiaran Al Jazeera bersama tujuh peguam dilihat keluar daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dirakam keterangan hari ini. Foto: Bernama
Seorang wartawan (tengah) daripada enam kakitangan stesen penyiaran Al Jazeera bersama tujuh peguam dilihat keluar daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dirakam keterangan hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai enam kakitangan agensi berita antarabangsa Al Jazeera bersama enam peguam dilihat meninggalkan perkarangan Bukit Aman petang tadi selepas selesai memberikan keterangan berhubung penerbitan dokumentari kontroversi Locked Up In Malaysia's Lockdown.

Kumpulan berkenaan dilihat keluar dari Bukit Aman kira-kira jam 3 petang dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V.

Bagaimanapun, cubaan pihak media yang menunggu seawal jam 9 pagi untuk mendapatkan sebarang kenyataan menemui jalan buntu apabila kumpulan berkenaan enggan ditemu ramah.

Difahamkan, kesemua individu yang tiba di Bukit Aman sekitar jam 8.50 pagi itu terdiri daripada penerbit, editor, wartawan dan jurukamera serta mereka yang terbabit dalam menerbitkan dokumentari kontroversi tersebut.

Kehadiran mereka untuk memberikan keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman susulan penerbitan dokumentari itu yang mempertikaikan kaedah pihak penguat kuasa menangani pendatang asing tanpa izin (PATI) sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Abdul Hamid ketika sidang media sebentar tadi mengesahkan kehadiran kumpulan berkenaan untuk diambil keterangan. Foto: Bernama
Abdul Hamid ketika sidang media sebentar tadi mengesahkan kehadiran kumpulan berkenaan untuk diambil keterangan. Foto: Bernama

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika sidang media sebentar tadi mengesahkan kehadiran kumpulan berkenaan untuk diambil keterangan.

“Seramai enam kakitangan Al Jazeera hadir memberi keterangan di Bukit Aman pagi tadi bersama tujuh orang peguam. Seorang lagi individu yang bertanggungjawab memuat naik rakaman dokumentari tersebut pula hadir untuk memberikan keterangannya kira-kira jam 3 petang tadi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukit Aman panggil Al Jazeera

Artikel Berkaitan:

Laporan Al Jazeera: PDRM panggil beberapa individu bantu siasatan

Isu Al Jazeera: Rayhan Kabir dikehendaki Imigresen

Kelmarin, polis memaklumkan sudah memanggil seramai empat saksi daripada pihak Al Jazeera untuk hadir memberi keterangan pada jam 10 pagi namun kumpulan berkenaan tiba di Bukit Aman lebih awal daripada masa ditetapkan dipercayai untuk mengelak liputan media.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed sebelum itu mengesahkan telah menerima sebanyak lima laporan polis berhubung penyiaran dokumentari berkenaan yang berat sebelah, tidak tepat dan memburukkan Malaysia dalam usaha mengekang pandemik Covid-19 membabitkan warga asing.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.