Kadar pendapatan isi rumah di Kuala Lumpur paling tinggi

Kuala Lumpur mencatatkan kadar pendapatan isi rumah penengah tertinggi iaitu RM10,549. - Foto 123RF
Kuala Lumpur mencatatkan kadar pendapatan isi rumah penengah tertinggi iaitu RM10,549. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan kadar pendapatan isi rumah penengah tertinggi iaitu RM10,549 diikuti oleh Putrajaya sebanyak RM9,983.

Sementara Selangor mencatatkan sebanyak RM8,210 diikuti Labuan (RM6,726), Johor (RM6,427), Pulau Pinang (RM6,169) dan Melaka (RM6,054).

Menurut hasil laporan Penemuan Utama: Pendapatan, Kemiskinan, Ketaksamarataan, Perbelanjaan, Kemudahan Asas, Putrajaya mencatatkan peningkatan tertinggi kadar pertumbuhan tahunan dikompaun bagi pendapatan penengah iaitu 6.3 peratus dalam tempoh 2016 hingga 2019 iaitu lebih 1.6 kali ganda daripada kadar pertumbuhan penengah nasional iaitu 3.9 peratus.

Lapan negeri lain yang juga melepasi kadar pertumbuhan penengah nasional iaitu Terengganu (5.6 peratus), Kuala Lumpur (5.0 peratus), Kelantan (4.9 peratus), Pulau Pinang (4.4 peratus), Johor (4.3 peratus), Selangor (4.3 peratus), Labuan (4.2 peratus) dan Kedah (4.2 peratus).

"Secara purata pula, ketiga-tiga Wilayah Persekutuan merekodkan nilai pendapatan purata lebih tinggi daripada paras nasional iaitu RM7,901.

"Selain itu, Selangor dan Johor turut merekodkan nilai pendapatan purata lebih tinggi daripada paras nasional dengan pendapatan purata masing-masing adalah RM10,827 dan RM8,013," katanya menerusi laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, pertumbuhan tertinggi pendapatan purata direkodkan oleh negeri Terengganu sebanyak 5.5 peratus, lebih 1.3 kali ganda melebihi kadar pertumbuhan purata nasional iaitu 4.2 peratus.

Hal tersebut didorong oleh peningkatan yang stabil bagi punca Pendapatan Bergaji (4.0 peratus) serta peningkatan tinggi bagi punca pendapatan Bekerja Sendiri (10.8 peratus) dan pendapatan dari Harta dan Pelaburan (8.3 peratus).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Labuan mencatatkan pertumbuhan terendah iaitu 0.6 peratus; antaranya disebabkan oleh kejatuhan pendapatan daripada punca pendapatan Bekerja Sendiri (-2.6 peratus) dan pendapatan daripada Harta dan Pelaburan (-0.4 peratus).

Pendapatan Bergaji pula hanya merekodkan peningkatan marginal 1.0 peratus.