Pemulihan ekonomi negara dijangka jadi agenda Dewan Rakyat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemulihan ekonomi dan perencanaan masa depan Malaysia dijangka menjadi tumpuan perbincangan Dewan Rakyat yang dijadualkan kembali bersidang Isnin ini, memandangkan negara berusaha bangkit perlahan-lahan daripada impak buruk yang dibawa koronavirus (Covid-19).

Mesyuarat kedua penggal ketiga Parlimen ke-14 itu akan menyaksikan 222 ahli Dewan Rakyat mengupas pelbagai isu berkaitan dengan usaha untuk meletakkan semula negara di landasan pertumbuhan dan kemajuan kukuh selepas mengalami ‘hibernasi’ pandemik.

Persidangan selama 25 hari sehingga 27 Ogos depan itu turut akan membahaskan usul menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong atas titah diraja selain rang undang-undang, tindakan dan langkah kerajaan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 semasa persidangan pada 18 Mei lepas.

Ia berlangsung hanya sehari berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk mengekang penularan pandemik dalam negara.

Kerajaan setakat ini telah mengumumkan langkah rangsangan bernilai hampir RM300 bilion, merangkumi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM260 bilion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau lebih popular sebagai PENJANA, bernilai RM35 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijangka membentangkan Rang Undang-undang Langkah Sementara, selain PRIHATIN dan PENJANA, dalam persidangan kali ini untuk membantu kerajaan mengurangkan kesan sosial dan ekonomi yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19.

Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan) Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Md Daud Ismail berkata perkara penting yang dibincangkan sewajarnya merangkumi keperluan memperkukuh dasar ekonomi bagi membantu negara untuk bangkit dengan lebih teguh daripada impak pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, persoalannya masih berkisar kepada berapa pantas semua itu dapat dilaksanakan, katanya.

Beliau berkata kerajaan juga perlu lebih bersedia secara ekonomi bagi menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua Covid-19 atau kejutan baharu pada skala yang serupa atau lebih besar daripada pandemik baru-baru ini.

“Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, Malaysia telah berjaya (dalam membendung penularan pandemik Covid-19 dan hampir semua aktiviti ekonomi telah dibuka semula. Satu-satunya perkara penting sekarang adalah rancangan pemulihan ekonomi dari segi dasar dan strategi,” katanya kepada Bernama.

Dasar dan strategi kerajaan untuk memajukan ekonomi dalam jangka panjang amat penting memandangkan tanda-tanda berakhirnya pandemik Covid-19 masih belum kelihatan.

Penting untuk semua pihak menyedari bahawa beberapa pelaksanaan langkah sukar dan yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini oleh kerajaan untuk menangani Covid-19, seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hampir melumpuhkan ekonomi.

Ekonomi beroperasi hanya pada kapasiti 40 hingga 45 peratus sahaja semasa tempoh PKP.

Md Daud berkata, oleh itu, amat mustahak bagi kerajaan untuk terus membantu perniagaan dan individu yang terjejas teruk akibat pandemik tersebut, berlandaskan hala tuju dan strategi dasar sebagai kuncinya.

Ahli Parlimen kemungkinan akan berbahas mengenai sumber serta pengagihan dana PRIHATIN dan PENJANA kepada rakyat, baik individu atau syarikat, di samping kesan pakej rangsangan berkenaan ke atas kepada tahap hutang negara.

Sementara itu, Pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam berkata Ahli Parlimen perlu menumpukan perhatian mereka kepada pengajaran yang dipelajari daripada pandemik Covid-19, terutamanya tahap impaknya kepada ekonomi, risiko pengangguran dan langkah-langkah membasmi kemiskinan.

Semakan semula dasar, katanya, seperti dasar ketinggalan zaman yang perlu diubah dan apakah dasar baharu yang boleh diperkenalkan serta tumpuan untuk membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan perlu menjadi topik perbincangan utama di Parlimen.

Kesan bencana Covid-19, katanya, sebenarnya menyediakan cabaran dan peluang untuk menyelaraskan ekonomi.

“Unit Perancang Ekonomi, Bank Negara Malaysia dan institusi perbankan telah menyatakan bahawa (ekonomi) akan mencatatkan pertumbuhan negatif (tahun ini). Persoalannya adalah seteruk manakah impaknya kepada ekonomi.

“Ramai rakyat yang hidup dalam kesusahan. Kita perlu mengetahui sejauh mana keberkesanan pakej langkah-langkah yang dilaksanakan, seramai mana orang mendapat manfaat daripadanya, berapa banyak yang melibatkan mereka, adakah ia mencukupi, selama mana kita perlu memberi dan sebagainya,” kata bekas ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan itu.

Bank Negara Malaysia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara berada dalam jajaran -2 peratus hingga 0.5 peratus, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), -3.8 peratus dan Bank Dunia -3.1 peratus.

Bagi 2021, agensi antarabangsa mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia berada dalam jajaran 6.3 peratus hingga 7.5 peratus.

Mengenai tahap hutang negara, ia dijangka mencecah had statutori 55 peratus daripada KDNK pada akhir tahun daripada 52 peratus ketika ini susulan pelaksanaan pelbagai langkah bagi membantu rakyat dan negara mengharungi kesukaran akibat daripada penularan pandemik itu.

Defisit belanjawan Malaysia diunjurkan meningkat kepada 5.8-6.0 peratus. Sebelum ini, Belanjawan 2020 mengunjurkan defisit sebanyak 3.4 peratus.

Navaratnam berkata persidangan selama 25 hari tidak akan mencukupi untuk Ahli Parlimen berbahas mengenai pelbagai isu penting, “oleh itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memperuntukkan masa yang sesuai dan memberi keutamaan kepada perkara yang lebih penting”.

Topik perbincangan lain yang dijangka ialah mengenai kemas kini oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura bernilai RM110 bilion.

Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata,n Malaysia tidak akan membayar pampasan kepada Singapura berikutan penangguhan projek sepanjang 350 km hingga akhir tahun telah dipersetujui bersama oleh kedua-dua negara.

Kedua-dua negara sebelum ini telah bersetuju untuk menangguhkan projek tersebut dari September 2018 hingga 31 Mei, 2020. Pada 31 Jan, 2019, Malaysia membayar S$15 juta kepada Singapura untuk menampung kos penangguhan projek tersebut.

Pada 31 Mei tahun ini, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menangguhkan projek tersebut sehingga 31 Disember, 2020.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dijangka memberi taklimat kepada Dewan Rakyat mengenai pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang ditangguhkan hingga Januari tahun depan.

Pembentangan RMK12, yang pada awalnya dijadualkan pada 6 Ogos, ditangguhkan bagi membolehkan kerajaan melakukan kajian semula berikutan impak daripada Covid-19 kepada ekonomi global. - Bernama