Penugasan di sempadan tidak lebih lima tahun: JIPS

ZAMRI
ZAMRI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bagi mengelak pegawai dan anggota penguat kuasa di sempadan terdedah dengan salah guna kuasa, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan memastikan tempoh penugasan mereka di kawasan sempadan negara tidak melebihi lima tahun.

Pengarah JIPS, Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata, had tempoh penempatan anggota itu merupakan tindakan pengurusan dalaman yang dilaksanakan secara berperingkat.

“Bagi mengelakkan anggota daripada terjebak anasir yang tidak sihat sehingga boleh menyebabkan mereka bersekongkol dengan elemen penjenayah dan penyeludup, kami laksanakan penempatan pegawai dan anggota tidak melebihi lima tahun di satu kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa siri tangkapan membabitkan anggota dan pegawai polis yang terbabit dengan salah guna kuasa termasuk di Johor dan Sarawak baru-baru ini.

Katanya, seramai 12 pegawai kanan dan 15 anggota polis telah dikenakan tindakan membabitkan kesalahan salah laku dalam tempoh Januari sehingga awal Julai tahun ini.

Zamri berkata, antara usaha lain dalam memastikan anggota tidak terbabit dengan salah laku adalah dengan memperketatkan proses pengambilan pegawai dan anggota baharu dengan memberi fokus kepada ujian kefahaman agama Islam dan modul sivik serta moral.

“JIPS melalui Bahagian Agama dan Kaunseling juga telah melipatgandakan program pendidikan dan penerapan nilai peribadi unggul kepada semua lapisan pegawai dan anggota bagi membentuk barisan tenaga kerja yang berintegriti dan amanah.

“Kaunseling juga diberikan kepada pegawai dan anggota yang bermasalah sebelum dikenakan tindakan tatatertib kepada mereka yang melakukan kesalahan undang-undang,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: