Covid-19: Pakistan hargai kerjasama baik Malaysia

Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Malaysia menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan semua agensi berkaitan atas kerjasama dan komunikasi sangat baik yang diberikan sejak wabak koronavirus (Covid-19) melanda.

Pesuruhjaya Tinggi Amna Baloch berkata, fokus utama suruhanjaya menjaga nasib lebih 60,000 pekerja migrannya di sini, dan pihaknya menerima maklum balas positif daripada mereka yang terjejas akibat langkah-langkah pencegahan yang diambil untuk mengawal penularan virus.

"Warga Pakistan di negara ini diberi rawatan (perubatan) sangat baik sama seperti rakyat Malaysia yang lain. Setakat ini kami tidak menerima sebarang aduan," katanya kepada Bernama.

Baloch berkata pihaknya selalu menerima maklum balas yang cepat dan positif daripada semua agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Beliau bersyukur pihak berkuasa membantu pihaknya untuk mengendalikan mereka yang berdepan masalah sepanjang langkah pencegahan Covid-19 dilaksanakan, termasuk memudahkan pengedaran pek makanan kepada komuniti Pakistan yang terjejas di sini.

"...kerana mereka terkurung di rumah, mereka kekurangan makanan (bekalan). Sukarelawan kami diberi kebenaran untuk melaksanakan tugas menghantar bantuan," katanya.

Baloch berkata Suruhanjaya Tinggi juga berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana telah menyediakan dua penerbangan sewa khas pada Mei lalu untuk menghantar pulang 331 tahanan imigresen Pakistan.

Di seluruh Malaysia, masih terdapat 154 warga Pakistan berada di depoh tahanan imigresen. Semua mereka bebas Covid-19, katanya.

Artikel Berkaitan:

Pesuruhjaya Tinggi itu juga mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana berjaya menangani dan menguruskan wabak Covid-19, khususnya petugas di jabatan kesihatan.

"Hari ini, kami mendapat manfaat hasil langkah-langkah pencegahan itu. Kehidupan di Malaysia semakin ke arah normal. Kami dapat meneruskan semua aktiviti harian. Tahniah untuk usaha itu," katanya. - Bernama