Pulih ekonomi negara dalam tempoh setahun: Azmin

Mohamed Azmin - Foto Bernama
Mohamed Azmin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menumpukan usaha memulihkan ekonomi negara dalam tempoh setahun, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, kerajaan perlu bekerja keras memandangkan unjuran Bank Negara Malaysia meletakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah perlahan iaitu pada -2 peratus hingga 0.5 peratus tahun ini.

Menurutnya, sekiranya usaha itu lambat digerakkan, Malaysia tidak mungkin mampu mencatatkan angka pertumbuhan ekonomi yang positif.

“Tetapi berdasarkan usaha yang dibuat sekarang termasuk pakej rangsangan ekonomi, Insya-Allah kita boleh mencapai satu tahap yang lebih positif pada tahun depan.

“Jadi sekurang-kurangnya dalam setahun ini, kita perlu memberikan tumpuan kepada usaha untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Gombak (JTPD) di Selayang di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata kerajaan telah memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sebagai usaha mengurangkan kesan pandemik koronavirus (Covid-19) dan kedua-duanya memberikan hasil positif.

Beliau berkata, bagi 2021, agensi antarabangsa mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia berada dalam jajaran 6.3 peratus hingga 7.5 peratus.

“Masyarakat antarabangsa sudah yakin pentadbiran hari ini mampu memulihkan ekonomi negara, sebab itu mereka berani mengemukakan satu unjuran yang positif untuk Malaysia dan ini menggambarkan keyakinan pelabur-pelabur,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Azmin berkata, justeru, usaha memulihkan ekonomi harus diteruskan memandangkan pelaburan baharu dapat mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia dan memberikan kesan kesejahteraan kepada semua lapisan masyarakat.

“Peringkat daerah juga kena cepat cergaskan ekonomi. Bagi mencatatkan pertumbuhan yang diunjurkan oleh Bank Dunia itu tertakluk kepada keupayaan kita untuk menyegerakan pemulihan ekonomi,” katanya.

Menurut Bank Dunia menerusi laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia yang terkini bertajuk 'Surviving the Storm’, ekonomi Malaysia diunjurkan kembali mencatatkan pertumbuhan pada 6.9 peratus tahun depan. - Bernama