405,441 isi rumah dikategori sebagai miskin pada tahun 2019

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed -Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 405,441 atau 5.6 peratus isi rumah di negara ini bagi tahun 2019 didapati berada pada paras kemiskinan berdasarkan metodologi Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang baru.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kali terakhir metodologi pengiraan PGK dikemaskini ialah pada tahun 2005 dan PGK pada tahun 2016 adalah sebanyak RM980 sebulan bagi satu isi rumah.

"Berdasarkan PGK baharu ini, kadar kemiskinan adalah 5.6 peratus iaitu 405,441 isi rumah bagi tahun 2019. Kadar kemiskinan pada tahun 2016 adalah 0.4 peratus (24,700 isi rumah) yang diukur berdasarkan metodologi PGK 2005.

"Sekiranya metodologi PGK 2019 digunakan untuk mengukur kadar kemiskinan pada tahun 2016, peratusannya adalah 7.6 peratus (525,743 isi rumah).

"Ini bermakna, jika diukur menggunakan metodologi PGK yang baharu, kadar kemiskinan negara telah menurun sebanyak dua mata peratus dari 7.6 peratus pada tahun 2016 kepada 5.6 peratus pada tahun 2019.

"Ini jelas menunjukkan program dan inisiatif pembasmian kemiskinan yang dijalankan oleh Kerajaan dengan disokong oleh pelbagai pihak lain seperti badan bukan kerajaan dan swasta telah membuahkan hasil yang baik," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Hari ini, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin telah membentangkan penemuan Survei dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES & BA) 2019 yang antara lain memaparkan statistik kemiskinan.

Survei tersebut dijalankan dua kali dalam setiap lima tahun dan kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2016.

Artikel Berkaitan:

Sebagaimana diumumkan, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) keseluruhan nasional adalah sebanyak RM2,208 sebulan bagi satu isi rumah pada tahun 2019.

Dalam pada itu, Mustafa berkata, usaha penambahbaikan kaedah pengukuran kemiskinan ini bermula daripada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe-11) pada 18 Oktober 2018.

"Bertitik tolak dari itu, kerajaan telah mengkaji semula metodologi penetapan PGK supaya ia lebih menggambarkan corak perbelanjaan (consumption pattern) dan keperluan serta demografi semasa isi rumah, seiring dengan kemajuan yang dicapai oleh negara sejak tahun tersebut," katanya.

Kajian tersebut telah dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan, Kementerian Kesihatan, dan beberapa kementerian serta agensi yang berkaitan bermula Mac 2019 sehingga Jun 2020.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha menambahbaik kaedah pengukuran kemiskinan ini adalah manifestasi kesungguhan, keprihatinan dan ketelusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

"Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan termasuk Kerajaan Negeri perlu mengambil maklum PGK 2019 dalam merancang dasar dan program mereka serta mengkaji semula dasar berkaitan pembasmian kemiskinan dan bantuan sosial termasuk semakan semula kumpulan sasar di bawah seliaan dan tanggungjawab mereka dalam masa lima bulan akan datang," katanya.

Mustafa berkata, berpandukan statistik yang tepat, kerajaan akan dapat menggubal dasar dan strategi serta merangka program yang lebih sesuai, dinamik dan pragmatik untuk setiap kumpulan sasar terutamanya golongan miskin.

"Ini termasuklah dalam menyediakan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), 2021-2025 yang akan dibentangkan awal tahun depan," ujar beliau.

Sehubungan itu, pembasmian kemiskinan dan peningkatan taraf hidup rakyat akan sentiasa menjadi antara agenda utama negara.

"Justeru, usaha dan inisiatif kerajaan dalam mencapai matlamat ini akan sentiasa diperkukuh dan dilipatgandakan agar pembangunan negara akan dapat dirasai oleh setiap rakyatnya sejajar dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," jelasnya.