Kecewa dengan rakan DAP faktor keluar parti

Mary Josephine menunjukkan surat keluar parti yang dihantar kepada DAP pusat.
Mary Josephine menunjukkan surat keluar parti yang dihantar kepada DAP pusat.
A
A
A

SEREMBAN - Kecewa dengan sikap segelintir ahli Exco DAP Negeri Sembilan berhubung pemilihan ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menjadi faktor utama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rahang, Mary Josephine Prittam Singh, 71, bertindak keluar parti.

Beliau yang telah bersama DAP selama 46 tahun dan menjadi ADUN Rahang dua penggal turut meletakkan kesemua jawatannya dalam parti berkuat kuasa semalam.

Jawatan dalam parti yang disandang beliau iaitu Ketua Wanita DAP Negeri Sembilan, Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Setiausaha Organisasi Wanita DAP Kebangsaan dan Naib Pengerusi PH Kebangsaan.

Meskipun keluar dari DAP namun Mary Josephine menegaskan yang beliau akan terus memberi sokongan kepada DAP dan kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai ADUN Bebas.

"Bukan mudah untuk saya buat keputusan ini kerana saya telah bersama DAP selama 46 tahun. Tapi saya kecewa kerana telah berulang kali diketepikan dari proses membuat keputusan.

"Keputusan saya ini adalah muktamad dan ia tidak dipengaruhi oleh sesiapa pun. Tapi saya tidak sesekali akan lompat parti," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN - ADUN Rahang keluar DAP

Mary Josephine turut menafikan yang beliau mempunyai hubungan yang tidak baik dengan pemimpin DAP lain di negeri ini.

Sementara itu beliau berkata, keputusannya itu juga tidak akan mengganggu perkhidmatannya sebagai wakil rakyat kepada pengundi di kawasan DUN Rahang.

Artikel Berkaitan:

"Saya nak pengundi saya tahu yang saya tidak berubah dan masih YB Rahang, masih orang yang sama. Datanglah berjumpa dengan saya jika ada apa-apa masalah,"katanya.

Mary Josephine turut memberitahu yang surat makluman mengenai keputusannya keluar parti turut diserahkan kepada Aminuddin dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Zulkefly Mohamad Omar hari ini.