X

Kindly register in order to view this article
!

RM2,208 dilapor sebagai had pendapatan garis kemiskinan baharu

Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan nilai purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional ialah pada kadar RM2,208 iaitu dalam kelompok sepuluh peratus terbawah isi rumah.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pendapatan penengah tumbuh sederhana 3.9 peratus setahun kepada RM5,873 pada tahun 2019 dan pendapatan purata pula meningkat 4.2 peratus setahun kepada RM7,901.

Jelas beliau, tujuh negeri mencatatkan pendapatan penengah melepasi paras nasional sementara Selangor dan Johor merekodkan nilai pendapatan purata lebih tinggi daripada paras nasional iaitu RM7,901.

"Berdasarkan metodologi 2019, nilai purata PGK nasional ialah RM2,208 iaitu dalam kelompok sepuluh peratus terbawah isi rumah. Insiden kemiskinan mutlak bertambah baik daripada 7.6 peratus pada 2016 kepada 5.6 peratus pada 2019.

"Sementara itu, kemiskinan tegar direkodkan sebanyak 0.4 peratus pada 2019 berbanding 0.6 peratus pada 2016," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan 30 laporan iaitu Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas, Malaysia, 2019; 14 Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas mengikut Negeri dan Daerah Pentadbiran, 2019.

Selain itu, jabatan itu turut mengeluarkan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah, Malaysia, 2019; dan 14 Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah mengikut Negeri dan Daerah Pentadbiran, 2019 yang julung kali dikeluarkan.

Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIS & BA) memuatkan analisis berkaitan pendapatan, kemiskinan dan kemudahan asas yang dicapai oleh isi rumah.

Sementara itu, Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah (HES) pula mengandungi maklumat berkaitan corak perbelanjaan penggunaan isi rumah di Malaysia.

Mohd Uzir Mahidin menjelaskan, analisis kali ini telah dikembangkan dengan beberapa pembaharuan termasuk semakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) berdasarkan keperluan semasa yang mengambil kira pengambilan makanan optimum dan keperluan asas bukan makanan yang lebih berkualiti.

Selain dari itu pengelasan baharu isi rumah kepada sepuluh kategori berdasarkan kelompok sepuluh peratus dan Pendapatan Boleh Guna yang boleh dijadikan sebagai salah satu ukuran pilihan bagi analisis agihan pendapatan serta alternatif ukuran kemiskinan iaitu Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) dan Kemiskinan Relatif turut disediakan.

Bagi memberi perspektif yang lebih jelas, hasil kajian ini turut digarap dalam satu laporan Penemuan Utama yang memuatkan semua analisis dan lima artikel mengikut topik terpilih.

Dalam pada itu, Nilai Pekali Gini telah meningkat sebanyak 0.008 mata indeks daripada 0.399 (2016) kepada 0.407 (2019) yang menunjukkan jurang pendapatan isi rumah semakin melebar namun berdasarkan pendapatan boleh guna, Nilai Pekali Gini ialah 0.393.

Mengulas lanjut mengenai laporan HES, beliau berkata, laporan pada kali ini lebih

memberi impak kerana analisis dapat dibuat sehingga peringkat daerah pentadbiran.

Data tersebut dijangka dapat memberi input berguna terutama dalam mengkaji kos sara hidup antara daerah.

"Perbelanjaan purata isi rumah meningkat 3.9 peratus pada 2019. Dapatan juga menunjukkan permintaan untuk sektor perkhidmatan oleh isi rumah semakin meningkat.

"Komposisi perbelanjaan bagi komponen perkhidmatan meningkat kepada 52.1 peratus pada 2019," katanya.

Mohd Uzir berkata, corak perbelanjaan penggunaan isi rumah kekal kepada kumpulan utama perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain iaitu 23.6 peratus; makanan dan minuman bukan alkohol (17.3 peratus); restoran dan hotel (13.9 peratus).

Tambah beliau, perbelanjaan bagi pengangkutan merangkumi 13.5 peratus yang menjadi empat kumpulan perbelanjaan tertinggi merangkumi 68.3 peratus daripada jumlah perbelanjaan isi rumah di Malaysia pada 2019.

"Selari dengan pembangunan negara, komposisi perbelanjaan bagi kesihatan dan pendidikan menunjukkan peningkatan masing-masing sebanyak 0.2 mata peratus pada 2019.

"Perbelanjaan ke atas komunikasi kekal sama iaitu 5.0 peratus. Lain-lain kumpulan utama yang menjurus kepada perbelanjaan pilihan pengguna turut meningkat.

"Perbelanjaan dan kebudayaan meningkat masing-masing sebanyak 0.3 dan 0.1 mata peratus manakala hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah pula meningkat 0.2 mata peratus," jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus