X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah Tinggi benar Zarina fail permohonan Amyza ingkar kehadiran

Wan Azmi (kanan) ketika ditemui di luar mahkamah.
A
A

MAHKAMAH Tinggi hari ini membenarkan pelakon dan model Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul atau lebih dikenali sebagai 'Anju' memfailkan permohonan ingkar kehadiran terhadap Amyza Aznan selaku defendan yang lewat memfailkan memorandumnya mengikut prosedur ditetapkan berhubung kenyataan fitnah bantuan khusus untuk artis tempatan susulan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Hakim Datuk Azimah Omar, membuat keputusan itu setelah mendapati Amyza gagal memfailkan memorandum kehadirannya mengikut prosedur mahkamah.

Mahkamah juga mendapati saman yang difailkan Zarina Anjoulie selaku plaintif, melalui peguamnya Wan Azmir Wan Majid teratur namun memorandum kehadiran Amyza untuk menjawab saman itu difailkan lewat dari tarikh ditetapkan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan itu ditolak dengan kos dan Amyza selaku defendan perlu membayar RM 2,500 kepada Zarina Anjoulie.

Peguam Amyza, Rejinder Singh berkata kepada media di luar mahkamah, beliau akan memfailkan untuk mengetepikan permohonan Zarina Anjoulie berhubung ketidakhadiran Amyza yang ingkar perintah mahkamah selewat lewatnya minggu depan.

Sementara itu, Peguam Zarina, Wan Azmi berkata, setakat ini pihaknya akan memfailkan permohonan lanjut bagi ganti rugi kerugian yang dihadapi anak guamnya, Zarina Anjoulie.

Melalui saman itu, Zarina Anjoulie, 34, selaku plaintif, mendakwa selepas pengumuman kerajaan berhubung BPN kepada rakyat dalam golongan B40 dan M40 yang berpendapatan RM8,000 ke bawah sebulan, sebahagian daripada golongan artis tempatan turut menyuarakan pendapat mereka dan menyatakan bahawa kerajaan perlu memberikan satu ‘bantuan khusus’ bagi mereka atau penggiat seni negara.

Mengikut penyataan tuntutan itu, Zarina Anjoulie yang juga seorang usahawan mendakwa, beliau telah memuat naik video di laman sosial Instagramnya pada 28 Mac lepas yang secara umum menyatakan bahawa ‘bantuan khusus’ tersebut adalah tidak perlu dan hanya golongan artis yang layak, boleh memohon BPN seperti rakyat lain.

Dakwanya, pada 29 Mac lepas satu kumpulan dikenali sebagai ‘Bantuan Covid-Seni 2020’ ditubuhkan menggunakan aplikasi pesanan ringkas Telegram bagi membincangkan mengenai bantuan Covid-19 kepada artis tempatan dan kumpulan itu mempunyai sekurang-kurangnya 819 ahli terdiri daripada penggiat seni termasuk Amyza.

Plaintif mendakwa melalui kumpulan itu, Amyza telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya, menyebabkan ramai ahli kumpulan berkenaan turut dipengaruhi oleh fitnah itu, selain mendakwa defendan juga telah mengeluarkan kenyataan memfitnah di Instagram miliknya untuk paparan umum, yang dimuat naik April lepas.

Dakwanya, kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif seorang yang berperangai buruk, tidak bertanggungjawab dan sering menabur fitnah terhadap artis lain.

Akibat kenyataan itu, beliau mengalami kemurungan kerana dimalukan dan reputasinya turut tercalar.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am atas kehilangan reputasi berjumlah RM3 juta, ganti rugi teladan, faedah, permohonan maaf daripada defendan.

Selain itu, defendan juga dihalang daripada mengeluarkan sebarang bentuk kenyataan memfitnah, memalukan, atau menjatuhkan reputasi plaintif, pada masa akan datang, kos serta relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!