Dah kena kompaun banyak kali pun masih degil

MDHS mengambil tindakan mengeluarkan notis penutupan selama 14 hari kepada dua lagi premis perniagaan termasuk sebuah premis di Kalumpang.
MDHS mengambil tindakan mengeluarkan notis penutupan selama 14 hari kepada dua lagi premis perniagaan termasuk sebuah premis di Kalumpang.
A
A
A

HULU SELANGOR - Walaupun telah beberapa kali dikompaun atas kesalahan sama, pemilik kedai runcit di Taman Indah, Rasa di sini masih berdegil dan meletakkan barangan di tempat awam.

Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menerusi satu kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan dalam operasi bersepadu dijalankan, pihaknya mendapati premis terbabit juga dikendalikan warga asing.

Menurut kenyataan itu, premis terbabit mempunyai lesen perniagaan milik warga tempatan, namun pemilik tiada di kedai ketika pemeriksaan dijalankan.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis ini mempunyai permit kaki lima, namun tamat tempoh pada 16 April lalu.

"Pengusaha premis didapati masih meletakkan barangan di tempat awam walaupun telah dikompaun beberapa kali atas kesalahan sama sebelum operasi dilaksanakan.

“MDHS mengambil tindakan menyita kesemua barangan diletakkan di tempat awam di premis terbabit,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, MDHS memaklumkan pihaknya turut mengambil tindakan sama dan mengeluarkan notis penutupan selama 14 hari kepada dua lagi premis perniagaan termasuk sebuah premis di Kalumpang.

Artikel Berkaitan:

MDHS mengambil tindakan menyita kesemua barangan diletakkan di tempat awam di premis terbabit.
MDHS mengambil tindakan menyita kesemua barangan diletakkan di tempat awam di premis terbabit.

Menurut kenyataan dikeluarkan, premis berkenaan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-undang kecil 43(1)(a) dan (b), Undang-undang Kecil Pelesenan, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007.

“Premis tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh penutupan berkuatkuasa.

“Pihak MDHS mengingatkan semua pemilik perniagaan supaya menjalankan sendiri perniagaan dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain tanpa kelulusan.

"Tindakan tegas boleh diambil ke atas pemilik perniagaan jika didapati melakukan kesalahan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut menyita dua premis yang melanggar syarat dan peraturan serta dikendalikan warga asing di Seksyen 7, Shah Alam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, tindakan diambil bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MBSA) 2007.

“Tindakan tegas boleh diambil ke atas pemilik perniagaan jika didapati menyerahkan perniagaan kepada pihak lain tanpa kelulusan.

“Pihak MBSA berharap semua pihak mematuhi arahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) supaya dapat memutuskan rantaian Covid-19,” menurut kenyataan itu.