Peniaga cedera dipukul adik ipar tanpa sebab

A
A
A

KUALA NERUS - Seorang peniaga cedera di seluruh anggota badan akibat dipukul dan ditendang oleh adik iparnya tanpa sebab dalam kejadian di sebuah rumah di Bukit Tunggal, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, lelaki berusia 30-an tersebut juga merosakkan kereta jenis Perodua Alza milik abang iparnya yang berusia 36 tahun dengan menendang bahagian depan kereta berkenaan sehingga kemik.

Menurut sumber, kejadian hanya disedari mangsa selepas terdengar bunyi bising di luar rumah.

"Bagaimanapun, tanpa memberi sebarang jawapan, suspek menyerang mangsa dengan memukul kepala serta menendang seluruh anggota lelaki itu tanpa belas simpati.

"Kemudian suspek dikatakan mengambil sebilah pisau di dapur lalu mengacukan senjata itu sambil mengugut mahu membunuh mangsa," kata sumber itu ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Tambahnya, disebabkan terlalu takut melihat gelagat suspek yang seperti dirasuk itu, mangsa hanya mendiamkan diri dan tidak melawan bagi meredakan situasi sebelum suspek beredar meninggalkan lokasi.

"Akibat kejadian, mangsa menanggung kesakitan di kepala dan seluruh anggota badannya sebelum membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya kerana bimbang keselamatan diri serta ahli keluarganya pada masa akan datang.

"Susulan laporan dibuat, suspek ditangkap semalam untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.