X

Kindly register in order to view this article
!

Al Jazeera beri kerjasama penuh kepada pihak polis

Beberapa kakitangan Al Jazeera hadir ke Bukit Aman untuk direkod keterangan, hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi berita antarabangsa Al Jazeera akan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan isu dokumentari didakwa berbaur fitnah 'Locked Up In Malaysia’s Lockdown' terbitan mereka.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik berkata, beberapa kakitangan agensi berita itu hadir ke Bukit Aman, hari ini untuk memberi keterangan kepada pihak polis.

"Keterangan kakitangan Al Jazeera diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Kehadiran kakitangan Al Jazeera hari ini juga ditemani beberapa pengamal undang-undang bagi memenuhi keperluan siasatan polis," katanya kepada pemberita di pekarangan Bukit Aman di sini,hari ini.

Dalam pada itu, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah kakitangan Al Jazeera dan pengawal undang-undang yang hadir ke Bukit Aman, hari ini disebabkan faktor keselamatan.

Selain itu, beliau mengesahkan pihak Al Jazeera turut membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam selepas menerima pelbagai ugutan.

"Mereka bimbang dengan beberapa ugutan yang diterima melalui pelbagai medium termasuk dalam talian melalui komen-komen pengguna media sosial.

"Justeru mereka membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan diri masing-masing terutama yang terlibat dalam penerbitan dokumentari berkenaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus