Isu Al Jazeera: Empat individu dipanggil beri keterangan

Petugas agensi berita antarabangsa, Al Jazeera hadir ke Bukit Aman. - Foto Sumber Internet
Petugas agensi berita antarabangsa, Al Jazeera hadir ke Bukit Aman. - Foto Sumber Internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat individu termasuk petugas agensi berita antarabangsa Al Jazeera dipanggil ke Bukit Aman hari ini bagi memberi keterangan berhubung sebuah dokumentari mengenai cara Malaysia menangani pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi Bernama berkata, antara yang dipanggil ialah pengendali dan wartawan Al Jazeera bagi membantu siasatan itu.

Mereka tiba di Bukit Aman bersama tujuh peguam kira-kira 8.50 pagi tadi dan cuba mengelak ditemubual pemberita di lokasi.

ARTIKEL BERKAITAN - Empat individu dari Al Jazeera diarah tampil beri keterangan

Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Pada Rabu lepas, Bernama melaporkan sebanyak lima laporan polis dibuat oleh beberapa pihak termasuk Jabatan Imigresen Malaysia berhubung dokumentari yang disiarkan agensi berita itu dan polis mengenal pasti beberapa individu untuk dipanggil bagi membantu siasatan kes.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: