Sukma 2020: Kontinjen Melaka berlatih Sabtu ini

A
A
A

KONTINJEN Melaka di bawah dua program 'Projek Emas' dan 'Program Persediaan Sukma' (PPS) akan kembali memulakan latihan Sabtu ini bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, dua program yang bermula pada pertengahan tahun lepas itu melibatkan 577 atlet yang didaftarkan dalam senarai awal Kontinjen Melaka.

Beliau berkata, kebenaran itu selaras dengan pengumuman kebenaran aktiviti sukan dan rekreasi oleh Kerajaan Persekutuan 10 Jun lepas selain permintaan daripada atlet serta persatuan negeri.

"Setelah hampir empat bulan tidak berlatih sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan para atlet tidak dapat berlatih dan ia sedikit sebanyak menjejaskan prestasi dan persembahan mereka.

Semua atlet perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa latihan selain mereka juga boleh berlatih pada cuti umum," katanya pada sidang media dan penyerahan surat lantikan Ahli Majlis, Majlis Sukan Negeri, (MSN) Melaka di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Mohd Rafiq berkata, kerajaan negeri juga sudah membenarkan pembukaan semula sektor sukan dan rekreasi di negeri ini kecuali sukan-sukan yang melibatkan sentuhan serta pertandingan membabitkan penyertaan melebihi 250 orang pada satu-satu masa.

Katanya, semua pemilik premis juga digalakkan menggunakan aplikasi MySejahtera dan mendaftar kebenaran beroperasi di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Setakat ini hanya terdapat 70 peratus premis di negeri Melaka telah berdaftar dengan notification.miti@gov.my dan kita berharap lebih ramai pemilik premis sukan untuk berdaftar melalui pautan itu untuk memperoleh kebenaran bertulis daripada pihak kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mohd Rafiq turut mengumumkan pelantikan dua Timbalan Pengerusi MSN Melaka iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan selaku Timbalan Pengerusi 1 dan seorang doktor perubatan Dr Yadzil Yaakub selaku Timbalan Pengerusi 2.

Manakala empat lagi dilantik Ahli Majlis MSN Melaka ialah Presiden Persatuan Renang Amatur Melaka, Datuk Nawawi Reduan; Naib Presiden Persatuan Badminton Melaka, Dr Senasi Annamalai; Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Rogayah Mohamad dan Setiausaha Kehormat Persatuan Skuasy Melaka, Shirzli Imri Mohd Hayaha. - Bernama