X

Kindly register in order to view this article
!

Keputusan pengadil 'bantu' MU memalukan

Insiden yang menyaksikan United dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil yang mengundang kemarahan Smith.
A
A

PENGENDALI Aston Villa, Dean Smith berang dengan tindakan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Manchester United dalam perlawanan yang menyaksikan pasukannya tewas 0-3 di Villa Park, awal pagi tadi.

Menurutnya, pengadil perlawanan, Jonathan Moss membuat keputusan yang amat memalukan menghadiahkan sepakan penalti tersebut kepada The Red Devils yang menjadi punca kekalahan pasukannya.

The Villans memulakan perlawanan dengan baik mencipta beberapa gerakan merbahaya ke kubu United, namun impak cemerlang tersebut segera terpadam apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan pelawat selepas Bruno Fernandes dikasari Ezri Konsa.

Fernandes yang bertanggungjawab mengambil sepakan tersebut tenang memperdayakan penjaga gol Villa, Pepe Reina untuk membuka jaringan buat United sebelum Mason Greenwood dan Paul Pogba masing-masing menjaringkan satu gol untuk kemenangan bergaya The Red Devils.

"Kami mencipta permulaan cemerlang dengan beberapa peluang. Mereka (United) juga beberapa kali memberikan ancaman melalui serangan balas. Tetapi, segalanya berubah selepas pengadil memberikan penalti tersebut yang menjadi punca kemenangan United.

"Saya memahami kalau Moss melakukan kesilapan memberikan penalti tersebut. Tetapi, selepas itu mereka melihat kepada VAR dan tetap memberikan penalti tersebut.

"Fernandes ketika itu cuba melakukan 'double drag back', sentuhan pertamanya memang pada bola tetapi sentuhan keduannya dia memijak kaki Konsa. Jadi, macam mana itu dinamakan penalti?

"Selepas penalti tersebut, United menemui rentak dan mereka jauh lebih baik daripada kami sehingga menjaringkan dua gol lagi," katanya.

Keputusan tersebut menyaksikan Villa belum menang dalam 11 perlawanan terakhir mereka dan berkemungkinan menjadi pasukan yang akan disingkirkan daripada saingan EPL.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf