SPRM tahan penolong pengarah, pembantu tadbir universiti awam

SPRM
SPRM
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang penolong pengarah universiti awam di negeri ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan bernilai lebih RM30,000, semalam.

Menurut sumber, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan bersama seorang pembantu tadbir kanan berusia 47 tahun di Pejabat SPRM Selangor pada pukul 10.45 malam selepas mereka hadir memberi keterangan.

Jelas sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bersubahat menerima suapan daripada pemilik syarikat perikanan sebagai balasan memilih dan mengesyorkan syarikat tersebut bagi kerja pembekalan dan percetakan di universiti tersebut.

"Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini," katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjut berhubung kes berkenaan.

Artikel Berkaitan: