Rawatan tanpa pembedahan

 Dr Anwar memberi konsultasi kepada pesakit.
Dr Anwar memberi konsultasi kepada pesakit.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Rawatan tanpa pembedahan untuk sakit sendi, urat dan tulang mungkin kurang mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat ketika ini.

Namun kaedah rawatan termoden itu boleh dilakukan pesakit yang berdepan dengan masalah radang sendi dan kesakitan kronik, malah kosnya lebih murah daripada melakukan pembedahan dan kurang berisiko.

Dengan teknologi perubatan yang canggih dan kepakaran yang dimiliki, Pusat Pakar Perubatan Sendi Urat dan Tulang yang terletak di Bandar Seberang Jaya di sini memberi pilihan kepada pesakit untuk menggunakan kaedah rawatan berkenaan bagi merawat masalah yang mereka alami.

Mempunyai kepakaran khusus untuk merawat penyakit SLE (Lupus), psoriasis arthiritis, sakit lutut dan semua jenis radang sendi serta otot, ia pastinya akan memberikan sinar baharu kepada pesakit.

Dr Anwar Samhari Mat Arshad
Dr Anwar Samhari Mat Arshad

Beroperasi sejak tujuh tahun lalu, pusat rawatan berkenaan dikendalikan oleh Dr Anwar Samhari Mat Arshad yang merupakan pakar perunding rheumatik dan sakit kronik berpengalaman luas bukan sahaja pada peringkat nasional, malah kepakarannya turut mendapat perhatian industri perubatan peringkat antarabangsa.

Diiktiraf sebagai pakar reumatologi pertama di Asia, sekali gus menjadi Felo Interventional Pain Practitioner oleh World Institute of Pain, Dr Anwar menawarkan rawatan untuk semua jenis penyakit sendi, urat dan tulang, selain penyakit dalaman (internal medicine) seperti diabetes, darah tinggi dan lain-lain yang berkaitan.

“Kebanyakan masyarakat di Malaysia tidak tahu mereka ada pilihan kerana bukan semua masalah yang dihadapi (sakit sendi, urat dan tulang) hanya boleh berjumpa pakar ortopedik dan melakukan pembedahan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pilihan

Dr Anwar berkata, kini mereka boleh mencuba kaedah rawatan tanpa pembedahan yang lebih komprehensif tanpa risiko dan kesan sampingan yang tinggi.

“Bukan mahu melengahkan pesakit daripada melakukan pembedahan tetapi kami menawarkan kaedah konvensional yang kurang drastik melalui rawatan yang berkualiti dengan menggunakan teknologi terkini dalam dunia perubatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Menggunakan kaedah radiofrequency dan suntikan tertentu, Dr Anwar berkata, prosedur rawatan tidak mengambil masa yang panjang, malah diyakini lebih selamat dan berkesan termasuk merawat kesakitan kronik seperti cakera tergelincir (slipped disc), sakit tengkuk dan migrain.

Sesi rawatan fisioterapi bagi membantu merawat masalah yang dihadapi pesakit.
Sesi rawatan fisioterapi bagi membantu merawat masalah yang dihadapi pesakit.

Selain itu, katanya, masalah angin yang sinonim membelenggu warga emas, gout dan ankylosing spondylitis yang mengakibatkan keradangan sendi-sendi tulang belakang boleh diatasi dengan kaedah rawatan berkenaan.

“Rata-rata pesakit terutama mereka yang berusia antara 55 hingga 60 tahun menghadapi masalah sendi seperti sering kita dengar, antaranya ‘minyak hitam kurang’ dan kehausan sendi yang sebenarnya boleh dirawat tanpa perlu melakukan pembedahan yang mungkin menelan belanja sehingga RM30,000.

“Orang muda juga berisiko menghadapi masalah radang sendi, malah sekiranya rasa sakit selepas berjalan agak lama atau selepas bangun tidur atau kurang pergerakan, mereka perlu mendapatkan nasihat dan rawatan doktor,” katanya.

Intervensi

Dr Anwar berkata, bagi kes pesakit yang menghadapi kesakitan kronik, kaedah intervensi digunakan untuk pesakit tertentu yang bertujuan mempercepatkan pemulihan.

Menurutnya, kaedah itu menjadi pilihan kedua jika ubat tahan sakit atau anti radang yang diambil kurang berkesan dan kaedah berkenaan dilakukan dengan bantuan sinar X-ray bagi mengesan tempat yang bermasalah.

“Antara cara yang digunakan seperti suntikan ke dalam sendi, suntikan botox pada otot dan beberapa prosedur lain mengikut masalah yang dihadapi pesakit seperti suntikan plasma platelet/stem cell ke tisu atau saraf yang cedera.

“Fisioterapi dan kaedah senaman yang betul juga akan diajar kepada pesakit bagi merawat masalah yang dihadapi dan ia akan membantu mengurangkan kesakitan yang mereka alami,” katanya.

Memiliki seramai 20 orang tenaga mahir termasuk pakar fisioterapi dan juru X-ray serta enam orang jururawat terlatih, Pusat Pakar Perubatan Sendi Urat dan Tulang menyediakan pelbagai kemudahan bagi memastikan keselesaan pengunjung dan pesakit.

Farmasi yang lengkap di Pusat Pakar Perubatan Sendi Urat dan Tulang di Bandar Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Farmasi yang lengkap di Pusat Pakar Perubatan Sendi Urat dan Tulang di Bandar Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Kemudahan yang disediakan antaranya wad harian yang mempunyai empat katil, bilik prosedur, pusat pemulihan dan fisioterapi, perkhidmatan ultrasound dan X-ray, farmasi yang lengkap, surau dan bilik rehat.

Bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, pusat pakar berkenaan menyediakan kemudahan pembayaran ansuran mudah yang membolehkan pembayaran sebanyak empat hingga enam kali dibuat, selain menerima pesakit yang mempunyai kad atau perlindungan insurans.

Dr Anwar berkata, kaedah pembayaran yang fleksibel itu membolehkan pesakit menerima rawatan daripada pakar dengan harga caj yang amat berpatutan.

“Kami juga menyediakan kemudahan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menampung kos rawatan di sini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan yang ditawarkan, orang ramai boleh melayari Instagram, bonejointspecialist atau Facebook Pusat Pakar Sendi Urat dan Tulang.