X

Kindly register in order to view this article
!

Pasangan kekasih ditahan bersama tokan dadah

Lima ditahan dalam operasi yang dijalankan di Gelugor malam tadi.
A
A

GEORGETOWN - Sepasang kekasih antara ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang di sebuah rumah di Gelugor di sini kerana dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Pengarahnya, Elmariah Chung berkata, selain pasangan tersebut, pihaknya turut menahan seorang wanita bersama anaknya dan dua lelaki dalam serbuan di rumah teres di kawasan tersebut malam tadi.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan dalam Ops Cegah yang dijalankan oleh sepasukan penguat kuasa AADK Pulau Pinang bermula jam 7 malam tadi.

"Ketika serbuan, terdapat lima individu dalam rumah tersebut termasuk pasangan kekasih yang berusia 26 dan 21 tahun itu. Mereka mendakwa menyewa bilik di rumah tersebut sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Ketika disoal, pasangan tersebut mengaku terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

"Selain mereka, kita menahan seorang wanita berusia 23 tahun dan anaknya berusia dua tahun. Turut ditahan, dua lelaki berusia 40an yang dipercayai menjadi tokan dadah di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, pihaknya merampas 16 gram heroin yang dipercayai digunakan suspek.

"Siasatan awal mendapati, kenalan kepada pasangan tersebut sering berkunjung ke rumah sewa mereka untuk melepaskan gian. Kesemua yang ditahan mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan menjadikan rumah tersebut sebagai lokasi untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral itu.

"Kesemua yang ditahan diserahkan kepada polis untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Kita akan terus menjalankan operasi ini dari masa ke masa untuk menangani masalah dadah di negeri ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus