X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat Singapura tentukan kerajaan baharu hari ini

Kira-kira 2.6 juta rakyat Singapura akan memilih 93 Anggota Parlimen di 31 bahagian pilihan raya hari ini. Foto: 123RF
A
A

SINGAPURA - Rakyat Singapura mula mengundi hari ini bagi Pilihan Raya Umum 2020 apabila 1,100 pusat mengundi dibuka di seluruh republik itu pada 8 pagi.

Pilihan Raya Umum ke-18 Singapura itu dan ke-13 sejak kemerdekaan pada 1965 diadakan dalam kebiasaan baharu dengan sekatan dan peraturan jarak selamat di tengah-tengah wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda republik itu.

Digelar sebagai ‘pilihan raya kritikal’ kerana ia akan membentuk prospektif Singapura dalam menghadapi cabaran disebabkan oleh virus korona itu yang membawa maut dan menjangkiti lebih daripada 12 juta manusia di seluruh dunia.

Calon Bebas tunggal dan 11 parti politik termasuk parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP), bertanding untuk 17 Kawasan Perwakilan Kumpulan (GRC) dan 14 Kawasan Pilihan Raya Perwakilan Tunggal (SMC) untuk mengisi 93 kerusi Parlimen.

Sepuluh lagi parti bertanding ialah Parti Pekerja (WP), Parti Kemajuan Singapura (PSP), Parti Demokratik Singapura, Parti Suara Rakyat, Parti Perpaduan Nasional, Parti Reformasi, Parti Rakyat Singapura, Parti Kuasa Rakyat, Parti Red Dot United dan Perikatan Demokratik Singapura.

Dengan jumlah 2,653,942 pengundi, ini adalah pilihan raya umum kedua berturut-turut apabila PAP meletakkan calon di kesemua 31 bahagian pilihan raya.

Antara kerusi panas yang dipertandingkan ialah dua kawasan GRC lima anggota iaitu Al-Junied yang disandang oleh WP dan West Coast yang menyaksikan perebutan antara PAP dan parti baru ditubuhkan, PSP yang diketuai oleh Dr Tan Cheng Bock.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong yang juga Setiausaha Agung PAP dan pasukannya akan bertanding di GRC Ang Mo Kio lima anggota menentang Parti Reformasi diketuai oleh Kenneth Andrew Jeyaretnam.

Hanya SMC Pioneer dan GRC Pasir Ris-Punggol akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum kali ini.

Pada Pilihan Raya Umum 2015, yang menyaksikan semua kerusi dipertanding buat pertama kali selepas kemerdekaan, PAP menyapu bersih 83 daripada 89 kerusi, memenangi 69.9 peratus undi popular, naik kepada 9.8 mata. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus