Graduan perlu tingkatkan kemahiran

Graduan perlu bijak mengambil peluang dengan belajar ilmu tambahan selain bidang utama untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran.
Graduan perlu bijak mengambil peluang dengan belajar ilmu tambahan selain bidang utama untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran.
A
A
A

INSTITUSI pengajian tinggi (IPT) terus melahirkan graduan pelbagai bidang dalam pasaran kerja setiap tahun walaupun isu kebolehpasarannya seringkali dibangkitkan.

Justeru, graduan perlu bijak mengambil peluang dengan belajar ilmu tambahan selain bidang utama untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran mereka.

Mereka perlu menguasai ilmu keusahawanan dalam menghadapi cabaran peluang pekerjaan yang semakin sedikit biarpun bilangan graduan semakin bertambah.

Bakal mahasiswa pula dinasihatkan membuat kajian terlebih dahulu tentang bidang yang dipilih bagi memastikan kursus tersebut senang diterima oleh majikan.

Perkara ini sangat penting memandangkan pernah timbul isu lambakan graduan yang salah memilih kursus yang mana skop pekerjaan bagi sesuatu kursus tersebut terhad dalam pasaran kerja Malaysia.

Dalam memangkin kebolehpasaran graduan, usaha sama daripada semua pemain industri utama dengan institusi pendidikan amat dituntut termasuklah pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), institusi, tenaga pengajar dan pelajar.

Antara kursus bersijil yang dapat dijalankan adalah kemahiran bahasa asing, kepimpinan dan pengurusan, pengurusan makanan dan penyelidikan.

Pihak IPT perlu meluaskan lagi skop pengajian daripada memenuhi keperluan akademik semata-mata kepada mengukuhkan kesediaan dan daya saing bakal graduan untuk memenuhi keperluan industri. Dalam dunia pekerjaan yang penuh cabaran ini, kemahiran adalah suatu kelebihan. Graduan perlu menambah kemahiran atau inovatif dalam menyelesaikan masalah atau terus terbelenggu dalam statistik pengangguran.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan juga perlu menyediakan satu lapangan tenaga kerja dengan melibatkan pelajar lepasan sekolah dalam usaha melahirkan pekerja terlatih dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja warga asing.Kerja

Menurut kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-177 baru-baru ini, setiap tahun hampir 500,000 pelajar menamatkan persekolahan yang secara tidak langsung akan memasuki pasaran pekerjaan.

“Jadi semua pelajar yang habis belajar perlu mendaftar dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia serta mesti bekerja dalam apa juga pekerjaan yang ada sebagai khidmat negara dengan gaji minimum.

“Maka selepas setahun, mereka ini akan keluar dengan sijil dan testimoni sebagai pekerja terlatih,” katanya.

Abdul Halim berkata, selain itu kerajaan perlu menerapkan satu standard pengambilan pekerja supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan menyediakan tenaga kerja warga asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI).

Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr Madeline Berma memaklumkan selagi ekonomi negara masih lagi bergantung kepada buruh murahan, isu pekerja asing tidak akan selesai.

“Pada peringkat awal, pekerjaan baharu yang ditawarkan itu banyak diisi oleh tenaga pekerja tempatan, namun keadaan berubah dalam tempoh lima tahun berikutnya.

“Ia menunjukkan dua perkara iaitu satu kita tidak berubah, sektor ekonomi kita tidak berubah jauh daripada apa yang kita lalui maka sekarang kita lebih berminat untuk mengambil pekerja asing,” katanya.

Madeline berkata, berdasarkan kajiannya kira-kira 30,000 orang dari Sarawak berhijrah ke Johor dan bekerja di Singapura.

“Rakyat Malaysia sebenarnya tidak sangat memilih pekerjaan tetapi mereka sanggup pergi ke Singapura kerana upah yang diterima lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu berbeza jika mereka bekerja di Malaysia berdasarkan upah dan keselesaan diterima oleh mereka termasuk beberapa faktor lain yang menyebabkan hijrah itu berlaku.

Kesimpulannya, graduan dan bakal graduan perlu bersedia menghadapi alam pekerjaan yang semakin mencabar ketika ini. Apa yang penting sikap rajin dan berani perlu ditanamkan dalam diri agar senang untuk menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan yang mendesak.

*Ahmad Ismadi Ismail ialah wartawan Meja Jenayah