APMM pikul cabaran besar

A
A
A

KEUPAYAAN Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus diperkasakan apabila agensi itu menerima dua kapal peronda generasi baharu (NGPC) iaitu Kapal Maritim (KM) Kota Kinabalu dan KM Tok Bali pada Isnin lalu.

Kapal peronda kelas Bagan Datuk itu dibina syarikat tempatan, Destination Marine Services Sdn Bhd, menerusi perolehan kira-kira RM400 juta membabitkan pembinaan enam buah kapal.

Tiga kapal sebelumnya iaitu KM Bagan Datuk, KM Sri Aman dan KM Kota Belud telah diserahkan pada tahun 2017 manakala kapal terakhir, KM Lahad Datu dalam pembinaan.

KM Kota Kinabalu akan ditempatkan di Kuching, Sarawak manakala KM Tok Bali di Pasir Puteh, Kelantan dengan tumpuan operasi di Laut China Selatan.

NGPC sepanjang 45 meter dengan kelajuan 24 knot itu mampu belayar selama 10 hari bagi tugas penguatkuasaan dan carilamat. Ia dilengkapi selaras meriam berkaliber 30 milimeter, kamera pemantau dan dron untuk melakukan pemantauan udara.

Perolehan NGPC memberi dimensi baharu kepada APMM yang sejak ditubuhkan 15 tahun lalu bergantung kepada kapal dan bot peronda terpakai yang mencecah usia lebih 30 tahun.

Selain menyuntik moral, ia memperkasakan lagi penguatkuasaan khususnya membabitkan isu pencerobohan bot nelayan luar, jenayah maritim dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Melengkapi aset itu nanti ialah penerimaan tiga kapal ronda pesisir (OPV) bernilai RM740 juta yang dimeterai tiga tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

OPV pertama dijangka diterima hujung tahun ini manakala selebihnya tahun hadapan. Kapal bersaiz lebih besar itu mampu meronda lebih lama sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif serta kawasan di luar jangkauan kapal kecil.

APMM ketika ini merupakan sebahagian daripada tunjang Pasukan Bertindak Kebangsaan dalam melaksanakan Ops Benteng bersama tentera, polis dan Jabatan Imigresen dengan mengoptimumkan aset-aset laut dan udara.

Justeru, modenisasi APMM bukanlah bertujuan untuk bersaing antara pasukan berkaitan misalnya Tentera Laut Diraja Malaysia atau Pasukan Polis Marin kerana fungsinya berbeza.Peranan

Imbas kembali, langkah kerajaan merancang penubuhan sebuah agensi penguatkuasaan maritim pada tahun 1999 sebenarnya merupakan pemikiran ke hadapan apabila melihat terlalu banyak agensi yang terlibat mengakibatkan pertindihan fungsi.

Perubahan trend keselamatan serantau antaranya disebabkan kepesatan aktiviti ekonomi yang melibatkan jalan laut terutama di Selat Melaka memerlukan sebuah pasukan khusus diwujudkan bagi menguatkuasakan undang-undang di zon maritim.

Pada Februari lalu, kerajaan meluluskan perolehan empat helikopter saiz sederhana berjumlah RM600 juta untuk APMM sebagai tambahan kepada enam helikopter sedia ada.

Difahamkan, pertimbangan juga sedang diberi bagi cadangan membeli kapal sokongan pelbagai peranan yang boleh bertindak sebagai kapal induk bagi menyokong operasi kapal-kapal peronda lain.

Dalam pada itu, APMM juga sudah mengenal pasti sebuah lokasi di Kubang Badak untuk dijadikan pangkalan hadapan bagi mengawal kawasan utara perairan pulau Langkawi.

Seperkara lagi, APMM kini turut memikul tugas lebih besar dalam memelihara kedaulatan negara melalui apa yang dipanggil konsep diplomasi white hull iaitu menugaskan pasukan pengawal perairan sebagai alat diplomatik.

Ini kerana berbanding tentera, penugasan pasukan penguat kuasa dalam melindungi aset ekonomi seperti pelantar minyak dan gas yang menjadi penyumbang utama ekonomi negara seperti di Laut China Selatan boleh mengelak daripada tercetusnya konflik.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu