Harap 'import' cetus impak

Pemain B-18 giat menjalani kem latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin.
Pemain B-18 giat menjalani kem latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin.
A
A
A

MUHAMMAD Adam Nadzmi Zamri dan Wan Kuzri Wan Kamal yang dipanggil menyertai skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara perlu membuktikan kemampuan sesuai dengan status mereka sebagai pemain yang mempunyai pengalaman beraksi di akademi luar negara.

Legenda negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, bersandarkan status Wan Kuzri yang berlatih bersama Akademi Bola Sepak St Louis di Amerika Syarikat dan Muhammad Adam yang berkelana ke Akademi Bola Sepak BISP Cruizero di Thailand, mereka perlu menjadi pemain yang mampu memberikan impak lebih baik berbanding pemain tempatan lain.

Menurutnya, kudrat dan pengalaman kedua-dua pemain itu juga amat ditagih untuk membawa pasukan muda negara layak lebih jauh pada Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan Oktober ini.

"Kalau kita bawa pemain daripada luar negara ini, sudah tentu dia kena lebih baik daripada pemain yang berlatih di negara ini. Macam Liga Malaysia juga lah, kalau pemain import tidak lebih bagus daripada pemain tempatan, buat apa nak panggil main.

"Umpamanya apabila mereka berada di atas padang, kita boleh nampak mereka lebih 'bersinar' serta mempunyai kelebihan. Saya teruja nak tengok macam mana mereka bermain dalam pasukan B-19 negara nanti.

"Kalau macam Adam mungkin dia sudah biasa dengan corak permainan pasukan kebangsaan sebab dia bekas pemain Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP). Kalau Wan Kuzri saya tak pasti tetapi tidak salah mencuba dan saya harapkan mereka dapat beri impak yang diharapkan," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Terdahulu, pengendali skuad B-19 negara, Brad Maloney menyenaraikan Wan Kuzri dan Muhammad Adam yang juga bekas kapten NFDP yang kini berkelana di akademi luar negara dalam senarai 35 pemain yang menyertai kem latihan pusat Fasa 1.

Dalam masa sama, Jamal Nasir melihat skuad muda negara tampil dengan barisan pemain yang agak baik berdasarkan senarai pemain yang telah dipilih Maloney.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin pasukan ini boleh pergi jauh tetapi dengan syarat mereka perlu menampilkan persembahan yang baik dan dalam masa sama dua pemain dari akademi luar negara tersebut mampu beraksi cemerlang," katanya.

Skuad bimbingan Maloney akan membuka tirai saingan Kumpulan D bertemu Tajikistan seterusnya aksi kedua menentang Qatar dan berdepan Yemen pada perlawanan terakhir yang akan dijadualkan berlangsung di Stadium AGMK, Olmalik, Uzbekistan.

Pada edisi terdahulu, Malaysia yang ketika itu dibimbing Bojan Hodak turut diundi dalam Kumpulan D, namun gagal melangkah ke suku akhir selepas tewas 1-2 kepada Arab Saudi, seri 2-2 dengan Tajikistan dan kalah 0-2 kepada China untuk menduduki tangga terakhir kumpulan.

Pencapaian terbaik Malaysia sejak Kejuaraan B-19 AFC dimulakan pada tahun 1959 (dengan nama Kejuaraan Remaja AFC) adalah dengan muncul naib juara sebanyak tiga kali pada 1959, 1960 dan 1968 serta meraih tempat ketiga sebanyak dua kali pada 1964 dan 1965.

Pencapaian terakhir terbaik dilakukan skuad negara ialah pada edisi 2004 yang mana ketika itu Malaysia selaku tuan rumah berjaya mara ke suku akhir sebelum tersingkir apabila tewas 0-3 kepada China.