Matematik, AI perkasakan status China

A
A
A

PADA 11 Februari 2019, Amerika Syarikat melancarkan kertas arahan eksekutif bertajuk American Artificial Intelligence (AI) Initiative bertujuan mengekalkan status negara itu sebagai kuasa besar AI.

Amerika gusar dengan kemaraan China yang kian menguasai bidang AI. Amerika melihat penguasaan China dalam bidang Matematik sebagai satu senario yang sangat membimbangkan.

Kejayaan China menguasai bidang matematik dan AI dicemburui ramai pihak. Wartawan BBC, John Sudworth misalnya, mendedahkan kejayaan China mencipta sistem pengecam wajah menggunakan teknologi AI berasaskan formula kompleks kejuruteraan matematik yang mampu memberi jawapan terhadap pengecaman wajah dalam tempoh beberapa saat sahaja.

Krisis perbalahan dua kuasa besar iaitu China dan Amerika kini sebenarnya sudah memasuki fasa penguasaan dan kemampuan matematik terhadap aplikasi teknologi AI dalam bidang perindustrian, kewangan global, perdagangan, telekomunikasi, peperangan dan pengkomputeran.

Amerika kini sedar Rumah Putih bakal dijajah Beijing jika negara berkenaan gagal menguasai kejuruteraan matematik sekali gus mendominasi teknologi AI.

Penulis sebenarnya amat sedar bahawa AI bukan sekadar ‘kotak hitam’ yang mudah difahami rakyat marhaen.

AI ialah sistem bestari berasaskan pengetahuan merangkumi teknologi enjin carian, perwakilan pengetahuan, penglihatan, pemprosesan bahasa semula jadi, robotik dan automasi, pembelajaran mesin serta beberapa sub-sistem mengikut kegunaan aplikasinya yang dibangun berasaskan praktik permodelan matematik.

Praktik permodelan matematik ini ialah rangkaian pelbagai algoritma merangkumi kalkulus, statistik, teori kebarangkalian, algebra linear dan tidak linear serta analisis berangka secara pembelajaran mendalam dan meluas.

Artikel Berkaitan:

Ia mencakupi ruang lingkup tertentu yang mampu dibahagikan kepada pelbagai cabang AI, antaranya mesin reaktif, memori infiniti, teori minda dan kesedaran diri.

Akan tetapi, model matematik telah pun dinyatakan ALLAH SWT dalam Surah al-Qamar ayat 49-55 bermaksud, “Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu Kami telah jadikan dengan ukuran (matematik); Dan tidak ada perintah Kami, melainkan satu (kalimah) sahaja seperti kedipan mata (tempoh masa); Dan sesungguhnya Kami telah binasakan orang-orang yang seperti kamu tetapi adakah orang mereka mahu mengambil peringatan?; Dan tiap-tiap sesuatu yang mereka kerjakan (tersebut) dalam kitab-kitab (Kiraman-Katibin); Dan tiap-tiap urusan kecil dan besar (mendalam dan melebar) dalam kebun-kebun kecil dan sungai-sungai (ruang lingkup); Di tempat duduk kebenaran di sisi Raja Besar Yang Sangat Berkuasa.”

Penggalak Future of Life Institute (FLI), Stephen Hawking pernah menyampaikan pesanan bahawa suatu hari nanti AI akan menjadi teknologi paling berkuasa dalam sejarah manusia. Laporan FLI meyakini Artificial General Intelligence (AGI) dalam beberapa dekad akan datang dapat melakukan semua tugas kognitif tahap manusia-super.

Laporan FLI juga menyebut betapa Dewan Negara China telah mewujudkan dasar ‘Rencana Pembangunan Kecerdasan Buatan Generasi Baru’ pada pertengahan 2017. Dasar ini menggariskan strategi membangunkan industri AI dengan peruntukan hampir AS$150 bilion (RM641 bilion).

Menjelang 2030, China akan menjadi pusat inovasi AI sejagat sekali gus mengukuhkan status republik berkenaan sebagai kuasa besar ekonomi dunia.

Penulis percaya kerajaan Malaysia harus mengambil inisiatif menjemput pakar AI dari China bagi membangunkan teknologi kejuruteraan AI sebagai tool utama menjadikan Malaysia setanding dengan negara maju.

* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor