Wajar tukar Speaker ikut haluan kerajaan

Kerajaan Perikatan Nasional wajar menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalan sedia ada dengan individu sehaluan dengan kerajaan.
Kerajaan Perikatan Nasional wajar menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalan sedia ada dengan individu sehaluan dengan kerajaan.
A
A
A

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) wajar menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalan sedia ada dengan individu sehaluan dengan kerajaan.

Penganalisis politik dan perundangan dari Universiti Malaysia Kelantan, Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, pertukaran itu dapat memastikan pentadbiran negara berjalan lancar kerana sebarang cadangan yang dikemukakan kerajaan perlu dibahaskan di Dewan Rakyat.

Menurutnya, rakyat perlu memahami bahawa Speaker Dewan Rakyat memainkan peranan penting sebagai pemegang kunci kepada semua perkara tersebut.

“Beliau (Speaker) nak tangguh atau tolak sebarang cadangan, semua itu dia ada kunci untuk melakukannya. Peranan Speaker itu penting. Kalau Speaker ialah individu yang tidak sehaluan dengan kerajaan, kerajaan akan susah.

“Ini sistem demokrasi. Kalau pemerintah yang menerajui kerajaan merasakan Speaker dan timbalan itu tidak sesuai, kerajaan boleh mencadangkan untuk penggantian,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Abdul Halim Sidek
Abdul Halim Sidek

Abdul Halim berkata, Speaker Dewan Rakyat kini ialah individu yang dilantik Pakatan Harapan (PH) ketika parti itu memerintah negara.

“Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof ialah ahli Parti Amanah Negara (Amanah), manakala timbalannya, Nga Kor Ming pula ialah ahli Parlimen daripada DAP yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP.

Artikel Berkaitan:

“Jawatan-jawatan itu jelas menunjukkan mereka ini tidak boleh berlaku adil dan akan menyulitkan pentadbiran negara apabila kerajaan membawa apa-apa cadangan nanti,” katanya.

Abdul Halim berkata, rekod perkhidmatan Mohamad Ariff dan Kor Ming sepanjang tempoh bertugas menjadi salah satu faktor mereka perlu diganti.

Selain itu, katanya, kerajaan PN merasakan kedua-dua individu tersebut tidak sesuai kerana mungkin tidak menjalankan tugas dengan neutral.

“Pernah berlaku cadangan yang dibawakan Barisan Nasional (BN) ketika PH memerintah ditolak Speaker Dewan Rakyat.

“Misalnya, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer suka bercakap dan mengganggu orang lain berhujah sehingga orang naik meluat. Tetapi Speaker tidak menghalang sebaliknya membiarkan Rayer berkelakuan sedemikian tanpa sebarang tindakan.

“Ini adalah antara perkara yang menyebabkan suasana tidak harmoni dalam Dewan Rakyat kerana Speaker seperti berat sebelah,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani turut berpandangan bahawa Speaker dan timbalan perlu diganti selari dengan perubahan tampuk pemerintahan kerajaan.

Mohd Azizuddin Mohd Sani
Mohd Azizuddin Mohd Sani

“Dalam konteks ini, kerajaan sudah berubah. Maka ada keperluan untuk tukar Speaker yang tidak berat sebelah. Walaupun calon penggantinya, Datuk Azhar Azizan Harun dilantik oleh kerajaan PH sebagai Pengerusi SPR, tetapi beliau tidak terlibat dengan mana-mana parti politik.

“Jika tidak ditukarkan, kita bimbang Speaker buat keputusan berat sebelah kepada parti tertentu. Ini yang cuba dielak,” katanya.