Wartawan saman Presiden Brazil kerana buka topeng muka

Bolsonaro membuka topeng muka kerana mahu menunjukkan dirinya berada dalam keadaan sihat walaupun disahkan positif Covid-19 ketika ditemubual wartawan di kediaman rasminya di Brasilia kelmarin.
Bolsonaro membuka topeng muka kerana mahu menunjukkan dirinya berada dalam keadaan sihat walaupun disahkan positif Covid-19 ketika ditemubual wartawan di kediaman rasminya di Brasilia kelmarin.
A
A
A

BRASILIA - Kumpulan mewakili wartawan Brazil akan memfailkan saman terhadap Presiden Jair Bolsonaro selepas pemimpin itu dengan selamba membuka topeng muka ketika ditemubual petugas media walaupun selepas didiagnos positif koronavirus (Covid-19).

The Brazilian Press Association atau ABI dalam satu kenyataan menegaskan pemimpin tersebut dengan sengaja mendatangkan bahaya kepada sekumpulan kecil wartawan yang menemubual beliau di kediaman rasminya kelmarin.

Menurut ABI, Bolsonaro mahu menunjukkan kepada mereka kononnya beliau berada dalam keadaan baik walaupun disahkan positif Covid-19.

"Tindakannya membahayakan nyawa orang lain. Negara ini tidak boleh lagi melihat tingkah laku tidak bertanggungjawab seperti ini. Ia satu bentuk jenayah jelas terhadap kesihatan awam," kata Presiden ABI, Paulo Jeronimo de Sousa.

Jelasnya lagi, pemimpin haluan kanan itu didakwa melanggar seksyen Kod Jenayah yang melarang penyebaran penyakit serius ke atas individu lain atau tindakan yang boleh menyebabkan penularan.

Ketika temubual itu, Bolsonaro memberitahu wartawan bahawa beliau telah menjalani pemeriksaan sinar X pada paru-parunya selepas mengalami sakit otot dan demam.

Beliau turut mengesahkan mengambil ubat antimalaria, hydroxychloroquine sejurus disahkan positif Covid-19 walaupun penyelidik mendakwa ia tidak berkesan dalam rawatan penyakit tersebut selain mempunyai kesan buruk dan berpotensi membawa maut. - Agensi

Artikel Berkaitan: