JDT kembali ke pentas Asia Oktober depan

JDT akan meneruskan kempen Kumpulan G Liga Juara-juara Asia (ACL) Oktober depan.
JDT akan meneruskan kempen Kumpulan G Liga Juara-juara Asia (ACL) Oktober depan.
A
A
A

Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan meneruskan kempen Kumpulan G Liga Juara-juara Asia (ACL), Oktober depan berdasarkan kalendar perlawanan terkini dikeluarkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam laman sesawangnya, www.the-afc.com hari ini.

JDT akan menentang juara dua kali ACL, Guangzhou Evergrande dari China pada 17 Oktober depan sebelum berhadapan wakil Korea Selatan, Suwon Samsung Bluewings enam hari kemudian.

Harimau Selatan kemudian akan menentang kelab Jepun, Vissel Kobe pada 29 Oktober sebelum melengkapkan perlawanan pusingan awal berhadapan Guangzhou Evergrande pada 1 November.

AFC berkata semua perlawanan akan berlangsung di venue terpusat yang akan diumumkan kemudian.

Pada masa ini, JDT berada di tangga kedua Kumpulan G dengan mengutip tiga mata selepas dua perlawanan, dan ketinggalan tiga mata di belakang Vissel Kobe yang mengekalkan rekod tanpa kalahnya.

Pertandingan kelab bola sepak peringkat teratas Asia dan juga peringkat kedua Piala AFC ditangguhkan AFC sejak Mac lalu berikutan pandemik Covid-19.

AFC juga mengesahkan tarikh untuk lima lagi pertandingan selepas mengadakan perbincangan berterusan dengan ahli gabungannya.

Kejohanan Bola Sepak AFC B-19 di Uzbekistan akan berlangsung dari 14 hingga 31 Oktober Kejohanan Futsal AFC di Turkmenistan (4 hingga 15 November) Kejohanan AFC B-16 di Bahrain (25 November hingga 12 Disember) sementara Kejohanan Kelab Futsal AFC 2020 di Emiriah Arab Bersatu dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 13 Disember.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang perbincangan yang bermula di Kuala Lumpur, Doha, Dubai dan Delhi dalam Februari dan Mac, dan bersambung secara dalam talian sejak itu, kami bersetuju dengan kalendar perlawanan yang akan membolehkan kami melengkapkan kedua-duanya, kejohanan kelab dan kejohanan terpusat dalam 2020,” menurut Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John.

Sebelum ini, AFC telah menjadualkan semula perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dari Mac, Jun dan September kepada Oktober dan November tahun ini kerana pandemik Covid-19.