Serius, mahu memerangi dadah?

A
A

KITA mesti menerima realiti bahawa Malaysia masih gagal dalam perang melawan dadah. Bukti terserlah menerusi angka dan statistik terkini.

Pada tahun 2010, 23,642 orang telah dilaporkan mengambil dadah di Malaysia. Menjelang 2016, jumlah ini terus meningkat kepada 30,844 orang. Pada tahun 2017, sejumlah 163,931 tangkapan berkaitan dadah telah dibuat.

Ini telah mewujudkan situasi di mana segolongan rakyat Malaysia telah dipenjara atas sebab penagihan, yang juga merupakan suatu masalah kesihatan dan sosial.

Laporan Astro Awani pada 14 Jun 2017 telah menyatakan bahawa 33,500 daripada 59,600 (lebih kurang 56%) banduan di seluruh negara pada waktu itu berada di dalam penjara kerana kesalahan dadah. Daripada jumlah ini, 71.35% terdiri daripada orang Melayu, dan 66% berusia di antara 22 hingga 40 tahun.

Pada tahun 2018, Jabatan Penjara Malaysia melaporkan bahawa jumlah individu yang dipenjarakan mencecah 64,000. Ini merupakan satu angka yang jauh melebihi kapasiti penjara-penjara di negara kita yang sepatutnya hanya mampu menanggung 52,000 orang.

Terlalu ramai rakyat Malaysia hari ini telah kehilangan nyawa kerana masalah dadah. Pada November 2018, Al-Jazeera melaporkan bahawa antara 1,279 individu yang dijatuhkan hukuman mati di Malaysia, 932 berkaitan dengan kesalahan dadah.

Walaupun sudah beberapa dekad negara ini mengenakan hukuman mati ke atas mereka yang didapati mengedar dadah, masalah dadah di negara kita tetap masih tidak berkurangan. Justeru, kita perlu mencari jalan penyelesaian alternatif yang mampu menangani masalah ini secara holistik.

Pada awal tahun ini, saya telah melancarkan program pengurangan kemudaratan methadone untuk orang yang ketagihan bahan opioid di kawasan saya, Permatang Pauh, dengan kerjasama pengamal perubatan dari Universiti Malaya dan Kementerian Kesihatan.

Tidak lama lagi kami juga akan melancarkan program yang berlandaskan penggunaan naltrexone. Program ini merupakan kajian perintis di dunia yang bakal membandingkan keberkesanan methadone dan naltrexone dalam mengubati pengguna dadah polysubstance (pengguna ketagihan dadah pelbagai jenis).

Mengapa saya menyokong pengurangan kemudaratan walaupun ia merupakan alternatif yang kurang popular dan sukar diterima oleh rakyat Malaysia?

Program pengurangan kemudaratan kerap kali disamakan dengan atau ditakrifkan sebagai sokongan tersirat untuk penggunaan dadah (seperti ganja) secara rekreasi.

Ini merupakan persepsi yang salah. Tujuan program pengurangan kemudaratan adalah untuk memindahkan fokus daripada hanya menghukum pengguna dadah semata-mata, kepada pelaksanaan cara yang lebih berperikemanusiaan dan holistik yang mampu membantu pengguna mengatasi masalah penagihan mereka dari akar umbi.

Albert Einstein pernah berkata: “Definisi kegilaan adalah melakukan perkara yang sama berulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza”.

Maka, patutlah kita mencari jalan penyelesaian baharu dengan mengukuhkan program pengurangan kemudaratan seperti yang dilaksanakan di Permatang Pauh dan juga di 900 pusat rawatan lain di seluruh negara.

Pusat-pusat seliaan Kementerian Kesihatan ini berfungsi untuk menyediakan rawatan methadone kepada individu yang ketagih dengan bahan-bahan opioid untuk mengubati ketagihan mereka. Setiap minggu, pesakit akan datang ke pusat ini untuk menerima rawatan yang dikendalikan oleh kakitangan kesihatan profesional, bagi tujuan memulihkan dan menggalakkan proses integrasi semula pengguna ke dalam masyarakat.

Melalui Medication Assisted Therapy (MAT), program pengurangan kemudaratan telah terbukti berjaya mengurangkan jangkitan HIV dalam rawatan ketagihan bahan opioid. Melalui rawatan ini, kadar jangkitan HIV melalui perkongsian jarum telah jatuh dari 79.6% pada tahun 2001 kepada 3.4% pada tahun 2017, dan ini telah diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa seperti WHO, UNAIDS, Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dan Konsortium Dasar Dadah Antarabangsa (IDPC).

Methadone hanya berkesan untuk merawat mereka yang ketagihan bahan berasaskan opioid, masalahnya kini lebih separuh daripada semua pengguna dadah di Malaysia adalah pengguna polysubstance.

Kajian yang dilaksanakan di Permatang Pauh sangat penting untuk menentukan keberkesanan rawatan yang berbeza. Namun satu perkara tetap jelas - pengurangan kemudaratan sudah pastinya lebih kos efektif daripada pengenaan hukuman penjara.

Kos yang terpaksa ditanggung pembayar cukai di Malaysia untuk menanggung seseorang di penjara adalah RM35 sehari, bersamaan RM12,775 setahun.

Penggunaan naltrexone diakui mahal harganya, dengan kos mencecah AUD2000 bagi setiap pesakit. Walau bagaimanapun, dalam jangka masa panjang, kos menggunakan naltrexone jauh lebih rendah daripada sekadar menghumban penagih ke dalam penjara.

* Nurul Izzah Anwar ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.