Penutupan separa kerajaan AS masuk hari ke-32

Trump enggan tamatkan penutupan separa kerajaan.- Foto Reuters
A
A

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump masih enggan menamatkan penutupan separa kerajaan yang kini memasuki hari ke-32.

"No Cave!"(Tidak mengalah) merupakan mesej Trump kepada Parti Demokrat berhubung kemelut politik semasa yang melanda negara itu.

Presiden berkenaan berterusan menyalahkan pihak Demokrat kerana enggan meluluskan dana untuk pembinaan tembok di sempadan AS-Mexico.

"Tanpa tembok, negara tidak akan mempunyai Sempadan Keselamatan, ahli Demokrat tahu tentang itu namun masih mahu bermain politik," tulis Trump di Twitter.

Trump melancarkan penutupan separa kerajaan pada 22 Disember lalu, dan enggan meluluskan bajet persekutuan sebagai langkah menekan Demokrat agar meluluskan dana AS$5.7 bilion (RM23.4 bilion) untuk pembinaan tembok sempadan.

Kengganan kedua-dua pihak untuk mengalah, mengakibatkan sekurang-kurangnya 800,000 kakitangan persekutuan seluruh negara tidak dibayar gaji.

Terdahulu, kompromi Trump yang menawarkan tempoh perlindungan lanjutan untuk golongan yang memasuki AS secara haram ketika kanak-kanak (Dreamers) dan pemegang status Perlindungan Sementara (TPS), dipandang sepi Demokrat yang menuduh presiden berkenaan menjadikan rakyat AS sebagai 'tawanan'.- AFP