Warga emas terlantar rayu bantuan

Md Siraj terlantar sejak diserang strok dua bulan lalu dan segala keperluan hariannya diuruskan ahli keluarganya di Kampung Parit Bengkok, Pontian, Johor.
Md Siraj terlantar sejak diserang strok dua bulan lalu dan segala keperluan hariannya diuruskan ahli keluarganya di Kampung Parit Bengkok, Pontian, Johor.
A
A
A

PONTIAN - [DIKEMASKINI] Seorang warga emas yang terlantar sakit akibat strok sejak dua bulan lalu di rumahnya di Kampung Parit Bengkok di sini memohon bantuan bagi menampung perbelanjaannya.

Md Siraj Jayar, 73, diserang strok pada hari keempat Ramadan lalu dan sejak itu hanya terbaring serta tidak dapat menguruskan diri sendiri.

Segala keperluan harian Md Siraj termasuk makam minum diuruskan dua anak lelaki termasuk menantu perempuan yang tinggal bersamanya.

Menantunya, Siti Nurhafizah Tumin, 32, berkata, bapa mentuanya diserang strok selepas terjatuh.

"Bapa mentua saya sudah sangat uzur. Kami menanggung segala perbelanjaan ayah kira-kira RM1,000 sebulan.

"Suami saya (Hamdi, 37) hanya kerja kampung dengan pendapatan RM800 sebulan.

"Diharapkan ada pihak yang sudi meringankan beban keluarga kami," katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menerima sumbangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Volunteer Pasir Gudang pada hari ini.

Siti Nurhafizah berkata, keluarganya kini dalam proses untuk memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Volunteer Pasir Gudang, Nurul Ain Zakaria berkata, warga emas berkenaan masih tidak mendapat sebarang bantuan.

"Md Siraj memakai lampin pakai buang empat kali sehari selain memerlukan tisu basah dan 10 tin susu khas dalam sebulan.

"Selain itu, dia juga terpaksa berulang-alik ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru dengan perbelanjaan ditanggung sendiri," katanya.

Katanya, diharap sumbangan yang dihulurkan ini dapat meringankan beban mereka.

Bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 51155660449 atas nama anaknya, MD Amri MD Sirat.