Tiba masa pilihan raya diawasi lebih rapi

Md Shukri Shuib
Md Shukri Shuib
A
A
A

TANAH RATA - Dakwaan berlaku kempen politik wang, penyalahgunaan aset kerajaan untuk berkempen, ucapan kempen menghasut atau berbaur perkauman, selain 17 laporan polis dalam tempoh 10 hari kempen PRK Cameron Highlands menunjukkan aktiviti pilihan raya di negara ini perlu diawasi dengan lebih rapi.

Dalam mencapai demokrasi yang lebih matang dan melaksanakan reformasi pilihan raya, penganalisis politik, Md Shukri Shuib percaya sudah tiba masa pihak-pihak berkuasa yang terlibat untuk turun padang dan menghentikan perkara-perkara yang menyalahi peraturan pilihan raya.

Mungkin Polis Khas Pilihan Raya boleh diwujudkan dengan menggabungkan terus anggota polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah satu bumbung pada setiap kali pilihan raya diadakan.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia itu berkata, polis perlu diberikan kuasa mutlak untuk terus mengambil tindakan segera sekiranya didapati mana-mana pihak melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Sekarang ini, prosedur amat birokratik dan ambil masa panjang untuk diselesaikan, polis perlu terima laporan dahulu, kemudian kena tengok pula kes, mungkin ada yang bukan di bawah bidang kuasa polis, mungkin di bawah SPRM pula, kemudian kes perlu pula dibawa ke mahkamah.

“Kesalahan pilihan raya ini boleh menjejaskan keputusan pilihan raya, seperti mana juga yang mungkin berlaku pada PRK ini, lepas Dewan Rakyat bersidang beberapa lama, baru kes diputuskan dan kena pula buat pemilihan sekali lagi,” katanya.

Md Shukri berkata, pengwujudan polis khas ini juga perlu disekalikan dengan tribunal pilihan raya, supaya setiap kes boleh terus dibawa untuk diputuskan segera.

Sementara itu, Penganalisis Politik dan Perundangan dari Universiti Malaysia Kelantan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata seboleh mungkin setiap pendakwaan kesalahan peraturan pilihan raya perlu diselesaikan sebelum pengundian.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya tidak diselesai segera, ia mungkin akan sekali lagi menggugat keputusan PRK berkenaan yang hanya akan merugikan kerajaan.

“Mungkin terpaksa buat pengundian semula. Ini akan menambah perbelanjaan negara,” katanya.

Beliau berkata daripada segi undang-undang pula, ia cukup lengkap bagi memastikan sesuatu pilihan raya itu berjalan dengan amalan demokrasi yang tinggi tetapi penguatkuasaanya adalah lemah.

Selain Akta Kesalahan Pilihan Raya, katanya, pilihan raya juga secara tidak langsung terikat dengan Kanun Keseksaan, undang-undang pentadbiran khas untuk penjawat awam dan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib).

Justeru, semua pihak perlu akur, dan tindakan undang-undang perlu diambil sewajarnya kepada mana-mana pihak yang jelas melakukan kesalahan.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lepas mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam PRU14, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Parlimen Cameron Highlands mempunyai dua Dun iaitu Tanah Rata dan Jelai dengan jumlah keseluruhan pengundi seramai 32,009 orang. - Bernama