PM Muhyiddin lawat galeri Rukun Negara

Muhyiddin mencuba mesin taip ketika melawat galeri Rukun Negara selepas melancarkan sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin mencuba mesin taip ketika melawat galeri Rukun Negara selepas melancarkan sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa melawat galeri dan pameran memaparkan bahan-bahan dan gambar-gambar bersejarah penggubalan Rukun Negara selepas melancarkan sambutan 50 Tahun Rukun Negara di sini, hari ini.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Suhaimi Sulaiman memberikan taklimat kepada Perdana Menteri semasa lawatan itu di Bangunan Perdana Putra, lokasi majlis pelancaran sambutan itu.

Sekeping kertas yang memaparkan Minit Mesyuarat Pertama Penggubalan Rukun Negara adalah antara tarikan utama di galeri tersebut.

Minit bertarikh 30 Mac 1970 yang diadakan di Treasury, Kuala Lumpur pukul 10 pagi mencatatkan mesyuarat itu yang dipengerusikan Tun Tan Siew Sin (bekas Menteri Kewangan) dan antara yang hadir Tan Sri Muhammad Ghazali Shafie (bekas Menteri Dalam Negeri).

Minit mesyuarat tersebut yang juga detik-detik awal penggubalan Rukun Negara dalam usaha menyatupadukan rakyat Malaysia, disediakan Arkib Negara.

Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong IV Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, susulan peristiwa 13 Mei 1969, bagi mencapai perpaduan lebih erat antara rakyat.

Pameran itu turut memaparkan keratan akhbar dan 81 keping gambar yang disediakan Bernama, Arkib Negara dan Jabatan Penerangan.

Muhyiddin (tengah) melawat galeri Rukun Negara selepas melancarkan sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
 - Foto Bernama
Muhyiddin (tengah) melawat galeri Rukun Negara selepas melancarkan sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
 - Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Gambar-gambar itu menceritakan detik-detik awal penggubalan Rukun Negara manakala keratan akhbar pula tentang pelancaran Rukun Negara yang diterbitkan pada 1 September 1970.

Akhbar The Straits Times dengan berita muka depan '5-Point guide for all' dan akhbar berbahasa Melayu Utusan Malaysia memaparkan 'Lima prinsip Rukun Negara, turut dipamerkan.

Galeri dan pameran itu berkonsepkan terowong masa yang mengandungi tujuh panel dengan setiap panel mewakili lima prinsip Rukun Negara dan dua lagi memaparkan sejarahnya dan keratan akhbar yang berkaitan. - Bernama