Rakyat harap waktu operasi UTC Ampangan kekal

Waktu operasi UTC Ampangan kini bermula jam 1 petang hingga 10 malam pada waktu bekerja.
Waktu operasi UTC Ampangan kini bermula jam 1 petang hingga 10 malam pada waktu bekerja.
A
A
A

SEREMBAN – Orang ramai masih mengharapkan waktu operasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ampangan di sini, yang bermula jam 8 pagi hingga 10 malam.

Berkuat kuasa semalam, operasi pusat terbabit telah dipendekkan kepada jam 1 tengah hari hingga 10 malam bagi hari Isnin hingga Khamis, (2.45 petang hingga 10 malam hari Jumaat) dan (8 pagi hingga 5 petang bagi Sabtu dan Ahad).

Tinjauan Sinar Harian juga mendapati, masih ramai yang belum menerima maklumat perubahan waktu berkenaan.

Salah seorangnya ialah pekerja Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Mohd Hanif Ramli, 32, yang terpaksa datang semula ke UTC pada sebelah petang untuk menguruskan pendaftaran kelahiran anaknya di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Jam 9.15 pagi, saya dah datang tapi baru tahu operasi sudah ditukar. Saya akui terlepas pandang maklumat berkenaan yang sudah diuar-uarkan di media massa melainkan kenyataan Adun Ampangan di Facebook yang berharap waktu operasinya dikekalkan.

“Bagi saya, kerajaan perlu kaji dahulu sebelum laksanakannya secara menyeluruh kerana rakyat sudah selesa dengan waktu operasi dari pagi hingga malam yang memudahkan sesiapa sahaja,” katanya.

Menurutnya, untuk lebih memudahkan rakyat, kerajaan dicadang membuat dua waktu operasi iaitu dari jam 8 pagi hingga 10 malam dan dari jam 1 tengah hari hingga 10 malam.

Katanya, dengan cara itu, rakyat masih diberi pilihan sama ada berurusan pada waktu pagi atau malam.

Artikel Berkaitan:

“Bayangkan jika sistem bermasalah dengan operasi baru pada sebelah petang, rasanya ramai yang marah,” katanya.

Masyhura (kiri) dan Puveneswary
Masyhura (kiri) dan Puveneswary

Begitu juga dengan T Puveneswary, 32, yang tidak mengetahui waktu operasi berubah dan mengharapkan kerajaan kekalkan waktu operasi asal.

Katanya, dia bernasib baik kerana datang pada waktu petang, tetapi terpaksa menunggu lama.

“Jam 1 petang baru nak mula kerja, bayangkan jika ramai orang datang nampaknya sampai malam kami perlu tunggu,” katanya.

Penuntut IPT, Masyhura Basri, 25, pula mengetahui perubahan waktu operasi UTC menerusi notis yang ditampal di pintu utama.

“Jumaat lepas jam 8 malam saya datang nak perbaharui cukai kenderaan ayah tapi tengok tutup, rupanya waktu operasi ditukar.

“Bagi saya, eloklah kerajaan kekalkan waktu macam dulu lagipun UTC ini kini jadi tumpuan ramai,” katanya.