Covid-19: 11 kluster tempat kerja diisytiharkan tamat

Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 15 kluster jangkitan koronavirus (Covid-19) yang disenaraikan di bawah kluster tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 11 kluster telah diisytiharkan tamat termasuk Kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur yang tamat hari ini.

"Kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur merupakan yang pertama dikesan membabitkan klsuter tempat kerja," katanya.

Menurutnya, empat kluster tempat kerja masih aktif iaitu Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2, Kluster Pedas, Kluster Syarikat Pembersihan dan Kluster Tapak Pembinaan Kuching.

"Sebanyak 436 kes disahkan positif daripada empat kluster berkenaan termasuk 16 rakyat tempatan," katanya.

Beliau berkata, sehingga jam 12 tengah hari hari ini, seramai 10,362 orang telah disaring dalam semua kluster tempat kerja.

"Jumlah keseluruhan kes positif yang dikesan dalam kluster-kluster ini adalah 722 kes yang melibatkan 122 warga tempatan dan 600 warga asing," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, warga Bangladesh paling ramai dijangkiti dalam kluster tersebut dengan 234 kes positif dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

"Ia diikuti dengan warga Nepal (212 kes), warga Indonesia (109 kes), warga Myanmar (36 kes), tujuh warga India dan masing-masing satu kes melibatkan warga Kemboja dan Vietnam," katanya.

Katanya, bagi industri yang menggunakan banyak tenaga kerja termasuk warga asing, majikan bertanggungjawab untuk memastikan pekerja mereka sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain mengamalkan langkah-langkah pencegahan di tempat kerja.