Banduan lanjutkan pengajian ke peringkat sarjana

Epul (kiri) berpeluang mengubah nasib dirinya di bawah Program Ijazah Sarjana Mod Penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM).
Epul (kiri) berpeluang mengubah nasib dirinya di bawah Program Ijazah Sarjana Mod Penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM).
A
A
A

NIBONG TEBAL - Meskipun pertama kali 'terkurung' di balik tirai besi sejak tahun 2013 namun ia sudah cukup memberi seribu satu keinsafan buat seorang banduan yang ingin memperbaiki kehidupannya dan rakan senasib.

Seorang banduan berusia 30-an yang dikenali sebagai Epul berkata, mendapat peluang kedua dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana seolah-olah memberi sinaran dan lembaran baharu buat hidupnya.

"Apa yang membuatkan saya nekad melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana ialah tidak lain ingin membantu memulihkan diri sendiri dan juga golongan seperti saya agar menjadi anggota masyarakat yang berguna di masa hadapan," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang akhbar ketika Sesi Pendaftaran Pelajar Baharu di bawah Program Ijazah Sarjana Mod Penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM), di Penjara Seberang Perai di sini hari ini.

Epul yang berasal dari Kedah itu berkata, bertitik tolak daripada kursus Program Pembimbing Rakan Sebaya yang dihadirinya di Kajang tidak lama dahulu, telah menimbulkan minatnya untuk mengkaji dengan lebih mendalam mengenai kerja-kerja kemasyarakatan sehingga mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di bawah program Sarjana Sains Kemasyarakatan (Antropologi/Sosiologi) di USM.

"Semasa kursus tersebut, banyak input dan ilmu mengenai impak dadah (terhadap persekitaran sekeliling) diperoleh dan merasakan ia merupakan satu cabang ilmu yang perlu diterokai.

"Malah, saya turut memasang cita-cita ingin menjadi pekerja sosial terlatih di samping ingin membuka pusat pemulihan (dadah) sendiri," katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Industri (Kimia), di salah sebuah universiti tempatan di selatan tanah air.

Menceritakan detik hitam hidupnya, ia bermula gara-gara terpengaruh dengan rakan sebaya selain menjadikan filem-filem Barat yang mengisarkan kisah pertembungan budaya dan penyalahgunaan dadah sebagai panduan.

Artikel Berkaitan:

"Sejak remaja saya sudah mula berjinak-jinak dengan penyalahgunaan ganja di mana ketika itu hanya sekadar ingin berseronok sahaja.

"Tidak sangka ia terbawa-bawa ke alam universiti sehinggalah ke alam pekerjaan seterusnya menyeret saya ke tirai besi apabila polis membuat serbuan di kediaman di Kuala Lumpur (awal tahun 2000)," katanya yang pernah bekerja sebagai eksekutif pemasaran di ibu kota tidak lama dahulu.

Epul berkata, dirinya positif dan optimis dalam mencorakkan masa hadapannya kelak agar tidak mengulangi sejarah kelamnya kerana peluang yang diperoleh itu tidak datang dua kali.

"Pihak penjara selama ini banyak memberi sokongan kepada saya malah saya berdoa agar peluang ini dapat saya manfaatkan sebaiknya demi masa depan yang lebih terjamin," katanya yang sudahpun berkeluarga.

Sementara itu, Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah USM, Profesor Madya Dr Tay Guan Seng berkata, USM sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran tanpa mengira latar belakang seseorang.

"Apa yang penting ialah USM menilai dari segi kelayakan akademik dan seseorang banduan itu perlu mempunyai penyelia yang sesuai untuk program yang dipilih," katanya.

Turut hadir Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan USM, Profesor Dr B Vicknasingam yang juga selaku penyelia program Program Ijazah Sarjana Mod Penyelidikan USM. - Bernama