KKMM fokus tambah baik kesalinghubungan digital negara

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menganjurkan siri Makmal Infrastruktur Digital Negara (Makmal) bermula 13 Julai sehingga 14 Ogos ini untuk menetapkan semula sasaran berkaitan pembangunan infrastruktur digital negara selaras dengan kebiasaan baharu pasca koronavirus (Covid-19).

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, usaha itu membolehkan perancangan dirangka dengan lebih teratur dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti.

Menurutnya, antara objektif makmal itu adalah pemetaan menyeluruh bagi infrastruktur komunikasi negara, perancangan bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar serta langkah-langkah mengoptimumkan sumber-sumber seperti spektrum dan gentian optik bagi menambah baik kesalinghubungan digital negara.

"Wabak Covid-19 dan pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menunjukkan bahawa kesalinghubungan digital negara perlu dipertingkatkan secara menyeluruh dengan segera.

"Peningkatan permintaan untuk akses internet menjadi dorongan kepada KKMM untuk terus mempergiatkan usaha mempertingkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, pendekatan baharu yang berpaksikan kepada sinergi kerjasama antara kerajaan dan pemain industri diperlukan untuk menghasilkan proses pembaikan yang cepat.

Katanya, penyertaan daripada pihak industri untuk sesi makmal telah dikenal pasti berdasarkan beberapa kriteria penting antaranya ialah jumlah pelanggan yang tinggi dan mempunyai liputan perkhidmatan sedia ada.

"Wakil daripada kementerian dan agensi yang berkaitan juga akan dijemput untuk sesi ini.

Artikel Berkaitan:

"Pendekatan ini penting bagi membolehkan KKMM merangka pelan tindakan yang komprehensif dan cepat supaya ianya boleh dilaksanakan selaras dengan keperluan baharu ini," katanya.

Selain itu beliau berkata, pelesen dan pemegang taruh lain turut dialu-alukan untuk membantu mengenal pasti dan mengemukakan jalan penyelesaian bagi perkara tersebut.

"Saya yakin bahawa pendekatan baharu ini mampu menghasilkan sasaran yang positif bagi negara dari segi liputan, capaian jalur lebar dan kualiti perkhidmatan serta pemudahcara yang lebih baik untuk manfaat Rakyat Malaysia," katanya.

Katanya, bagi memastikan kejayaan usaha ini, beliau juga akan memantau perkembangan makmal ini dari masa ke masa.