X

Kindly register in order to view this article
!

Pegawai belia dan sukan universiti direman salah guna kuasa

SPRM
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai belia dan sukan sebuah universiti tempatan direman tiga hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyalahgunaan kuasa dan jawatan.

Menurut sumber, perintah reman dikeluarkan Majistret Ellyna Othman selepas membenarkan permohonan SPRM Selangor di Mahkamah Majistret Shah Alam, tengah hari tadi.

"Individu lelaki berusia 42 tahun itu ditahan 3 petang semalam di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberikan keterangan. Dia ditahan reman bermula hari ini hingga Sabtu.

"Individu itu yang turut memegang jawatan sebagai setiausaha dan pengurus kelab bola sepak universiti tersebut telah menggunakan kedudukannya," kata sumber itu kepada Bernama.

Sumber berkata suspek pada masa sama dikatakan telah memilih satu syarikat selaku ejen pengurusan bagi membawa masuk seorang pemain import bola sepak ke dalam kelab berkenaan yang beliau mempunyai kepentingan terhadap syarikat terbabit.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan berkenaan.

"Seorang pegawai belia dan sukan telah direman dan disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus