KPM disaran kekal cuti Aidiladha ikut takwim asal

NIK NAZMI
NIK NAZMI
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran mengekalkan cuti Aidiladha mengikut Takwim Persekolahan 2020 yang asal bagi membantu memudahkan urusan guru pulang ke kampung masing-masing.

Jurucakap Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bagi Portfolio Pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pengumuman takwim akademik yang baharu oleh KPM menyaksikan cuti sekolah bagi perayaan Aidiladha dipendekkan kepada dua hari iaitu pada 31 Julai hingga 1 Ogos.

"Keadaan ini menyukarkan guru-guru yang telah merancang perjalanan mereka untuk pulang ke kampung masing-masing.

"Kebanyakan guru yang telah membeli tiket penerbangan mengadu takwim baharu ini akan merumitkan keadaan mereka untuk pulang kerana kadar tiket baharu sudah tentu akan lebih mahal," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) juga memohon agar KPM dapat mempertimbangkan semula tarikh cuti persekolahan sempena Hari Raya Aidiladha pada 31 Julai ini.

Mengulas lanjut mengenai isu itu, Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, dengan mengekalkan takwim sedia ada,

guru dapat meluangkan masa bersama keluarga di kampung pada Aidiladha selepas tidak dapat berbuat demikian sebelum ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya faham situasi seperti ini berlaku kerana KPM ingin memadatkan takwim untuk menggantikan hari-hari pelajar tidak datang ke sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Namun, hari-hari pelajar tidak datang sekolah bukanlah bermaksud ketika itu guru-guru sedang bercuti.

"Ketika PKP, guru-guru bekerja keras dari rumah untuk memastikan pembelajaran dalam talian berlangsung dengan lancar," katanya.

Tambahnya, KPM perlu mendengar saranan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Cuepacs dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berhubung perkara itu dalam usaha bagi membela nasib golongan guru.