X

Kindly register in order to view this article
!

Tidak perlu politikkan bantuan untuk pendidikan anak-anak

Tuan Ibrahim (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Sulaiman (baju oren) di Seri Negeri di Ayer Keroh hari ini.
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Pas membidas tindakan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) kerana mempertikaikan bantuan 'one-off' yang diberikan kerajaan kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pasti merupakan pusat pendidikan prasekolah untuk anak-anak dan tidak sewajarnya ia dipolitikkan.

Menurutnya, seharusnya semua pihak menyokong serta menggalakkan institusi pendidikan dengan memberikan layanan yang adil kepada semua.

"Anak-anak kita hendak belajar di peringkat prasekolah, mengapa kita hendak politikkan. Sepatutnya kita menggalakkan.

"Pendidikan tidak perlu dipolitikkan sebaliknya diberikan layanan yang adil dan jangan jadikan pelajar sebagai korban," katanya ketika menjawab soalan mengenai sumbangan Tabung Musa'adah Covid-19 sebanyak RM100,000 kepada Pasti Malaysia.

Terdahulu, Tuan Ibrahim membuat lawatan kerja ke Melaka, selain mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Semalam, Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin mempertikaikan penyaluran bantuan menerusi Tabung Musa'adah Covid-19 kepada Pasti yang dimiliki sepenuhnya oleh Pas.

Bantuan secara 'one-off' itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus