Siapa punya kambing berkeliaran?

Anggota Penguatkuasa MDB memuatkan kambing yang ditangkap di pekan Kuala Besut ke dalam lori.
Anggota Penguatkuasa MDB memuatkan kambing yang ditangkap di pekan Kuala Besut ke dalam lori.
A
A
A

BESUT - Majlis Daerah Besut (MDB) terus menggempur haiwan yang didapati berkeliaran di beberapa lokasi di daerah ini menerusi Operasi Haiwan Merayau Siri 4 2019.

Yang DIpertua Majlis Daerah Besut, Ahmad Azizi Zulkifli berkata, sebanyak 19 kambing berjaya ditangkap di beberapa kawasan dalam operasi terbaru bermula jam 3 hingga 6.30 petang kelmarin.

Menurutnya, operasi tersebut melibatkan dua pegawai dan 17 anggota penguatkuasa MDB manakala kaedah tangkapan menggunakan jaring dan ubat pelali.

“Kita belum pasti kambing-kambing tersebut mempunyai pemilik atau sebaliknya dan kita tunggu dalam tempoh yang ditetapkan untuk pemiliknya tampil menuntut kembali.

“Kesemua haiwan tersebut ditangkap di sekitar pekan Kuala Besut, Pengkalan Nyireh, Kampung Raja dan Kampung Keluang iaitu kawasan yang sering dibuat operasi sebelum,” katanya.

Ahmad Azizi berkata, sehubungan itu pihaknya belum mengenal pasti samada haiwan tersebut sebenarnya mempunyai pemilik atau kambing yang dilepaskan sejak dahulu sebelum membiak.

Menurutnya, berdasarkan kes tangkapan lepas kebanyakan kambing yang ditangkap tidak dituntut semula menyebabkan ia terpaksa dilupuskan dengan cara lelongan selepas memenuhi syarat ditetapkan.

Menurutnya, haiwan yang ditangkap telah dihantar ke kandang (paun) tahanan di depoh MDB Gong Medang dekat sini.

Artikel Berkaitan:

“MDB melahirkan rasa kesal kerana masih ada pemilik khususnya di kawasan Kuala Besut dan Kota Putera yang melepaskan haiwan ternakan mereka seperti lembu dan kambing meskipun operasi diadakan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata lagi, kempen operasi menangkap haiwan merayau bermula 20 Disember tahun lepas sehingga Mac ini.

Dalam pada itu kata beliau, operasi ini hanya dilaksanakan oleh anggota penguatkuasa MDB dengan menggunakan kenderaan jabatan.

“Sekiranya bukan melibatkan anggota dan lori MDB bermakna ia bukan dilakukan oleh kami,” katanya.