X

Kindly register in order to view this article
!

Keluarga OKT menangis, pengsan dengar keputusan hakim

Sebahagian tertuduh yang didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan judi sabung ayam.
A
A

KEMAMAN - Suasana di luar pekarangan bangunan Mahkamah Sesyen di sini hari ini bertukar pilu dan sedikit kecoh apabila ada ahli keluarga menangis, meraung dan pengsan selepas mendengar hukuman terhadap tertuduh yang melakukan kesalahan judi sabung ayam.

Bagaimanapun, keadaan tersebut terkawal selepas 50 ahli keluarga tertuduh yang terkejut dengan keputusan mahkamah kemudian ditenangkan saudara masing-masing.

Terdahulu seramai 28 lelaki termasuk dua warga Indonesia masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bermain judi sabung ayam dan berada kawasan perjudian itu, Jumaat lalu.

Mengikut pertuduhan empat tertuduh berusia 33 hingga 56 tahun didakwa secara bersama-sama menyebabkan satu perlagaan haiwan di gelanggang laga ayam di sebuah pondok di Jalan Ibok, Air Jerneh, Kemaman kira-kira jam 12 tengah hari pada 3 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(5) akta sama.

Sementara itu, 24 lagi tertuduh berusia 20 hingga 57 tahun didakwa secara bersama-sama hadir di kawasan sabung ayam di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 32(2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(5) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, semua tertuduh boleh dihukum denda antara RM20,000 dan RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Hakim Azman Mustapha memerintahkan keempat-empat tertuduh dipenjara selama enam bulan dan 24 lagi tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Mohd Shahihan Mohd Tahar manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!