Remaja didakwa miliki dadah 80.5 gram

Tertuduh (dua dari kiri) didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine di Mahkamah Majistret Marang hari ini.
Tertuduh (dua dari kiri) didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine di Mahkamah Majistret Marang hari ini.
A
A
A

MARANG - Seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine bernilai keseluruhan RM12,000 pada Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Faqih Razali, 19, dari Rumah Murah Bukit Perah Pekan, Ajil, Hulu Terengganu hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 80.48 gram di Jalan Kuala Berang Rumah Awam Kos Rendah, Ajil, Hulu Terengganu, jam 7.30 malam pada 29 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) ADB 1952.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Mahkamah seterusnya menetapkan 13 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Kuala Berang sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, serbuan di sebuah rumah di Jalan Kuala Berang Rumah Awam Kos Rendah, Ajil, Hulu Terengganu selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Artikel Berkaitan: