Pengasuh didakwa aniaya bayi lelaki sampai lebam

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang bayi lelaki berusia lima bulan sehingga lebam di paha kiri dan luka kecil di tangan kanan Januari lepas.

Noraini Mohamad, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Taska De Sayang, Kementerian Luar Negeri, Wisma Putra di Putrajaya antara 7.30 pagi dan 5.30 petang pada 7 Januari lepas mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam K Navin Kumar merayu jaminan rendah atas alasan tertuduh seorang ibu tunggal yang mempunyai lima anak.

“Suaminya telah meninggal dunia, dua daripada anaknya masih bersekolah, seorang di kolej dan seorang lagi darjah enam... Dia tinggal di taska tempatnya bekerja dan hanya memperoleh RM1,000 sebulan serta tiada rekod kesalahan lampau,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai dan menetapkan 7 Ogos untuk sebutan semula kes.- Bernama

Artikel Berkaitan: