Sah tulang manusia

Soffian (kiri) meninjau lokasi penemuan cebisan tulang di Race Course, Jalan Bukit Gantung tadi.
Soffian (kiri) meninjau lokasi penemuan cebisan tulang di Race Course, Jalan Bukit Gantung tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis mengesahkan cebisan tulang yang ditemui di kawasan hutan, tepi Race Course, Jalan Batu Gantung di sini adalah tulang pinggul manusia.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, selain tulang tersebut, polis menjumpai baju, jaket, kad akses hotel serta beberapa barangan peribadi antaranya pakaian dalam; beg kecil; sebelah kasut, peralatan mandi dan cermin mata.

Menurut beliau, polis percaya penemuan itu mempunyai hubung kait dengan kes orang hilang melibatkan wanita warga Australia yang dilaporkan hilang tiga tahun lalu.

"Cebisan tulang, barangan dan baju ditemui berselerak iaitu jarak antara tulang pinggul dengan barangan peribadi kira-kira 15 meter manakala jarak baju dengan barang peribadi, kira-kira 0.6 meter.

"Bagaimanapun, pada peringkat ini kita masih belum mengesahkan sama ada rangka yang dijumpai ini merupakan milik wanita warga Australia yang hilang tersebut sehingga perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dengan keluarganya dibuat," kata beliau kepada pemberita sewaktu ditemui di lokasi penemuan tulang tersebut, di sini, hari ini.

Soffian berkata, polis akan berurusan dengan Kedutaan Australia di Malaysia untuk mendapatkan sampel DNA keluarga wanita berkenaan.

"Sehingga semalam, kita menerima maklum balas daripada mereka (keluarga) bahawa mereka setuju untuk menghantar sampel DNA ke Malaysia. Jabatan Kimia juga bersetuju bahawa kaedah perbandingan DNA ini boleh menentukan identiti pemilik tulang tersebut.

Artikel Berkaitan:

Soffian (dua dari kanan) menunjukkan lokasi penemuan tulang, barang peribadi dan baju mangsa ditemui.
Soffian (dua dari kanan) menunjukkan lokasi penemuan tulang, barang peribadi dan baju mangsa ditemui.

"Kaedah ini terpaksa digunakan kerana kekangan kemasukan penerbangan dari luar negara ke Malaysia pada waktu ini. Kita juga akan berhubung dengan keluarga bagi tujuan pengecaman barang milik mangsa antaranya pakaian, peralatan keagamaan iaitu salib dan lain-lain, dengan kaedah penghantaran gambar berkualiti tinggi," katanya.

Beliau berkata, selepas kesemua prosedur itu disahkan keluarganya, polis akan meneruskan siasatan untuk mengetahui punca kematian wanita tersebut.

"Kita akan siasat bagaimana mangsa boleh berada di sini kerana kawasan ini baharu dibangunkan tahun lalu. Sebelum ini, ia merupakan hutan dan terletak tiga kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan berada. Kawasan ini akan ditutup daripada kerja pembinaan sehingga siasatan selesai.

"Sekiranya sah ia milik mangsa, kita akan mendapatkan perintah mahkamah untuk tindakan selanjutnya antaranya menggali kawasan ini untuk mencari bahagian tulang yang lain. Buat masa ini, kita bekerjasama dengan Kerajaan Australia untuk berhubung dengan keluarga mangsa. Polis tidak akan berhenti menyiasat kes ini sehingga selesai," katanya.

Pada 24 Jun lalu, seorang lelaki berusia 30 tahun menemui selonggok pakaian yang sudah lama ditinggalkan ketika sedang membuat kerja landskap di kawasan hutan tepi Race Course, Jalan Batu Gantung, di sini.

Dia kemudian membawa tulang tersebut lalu membuat laporan polis pada petang keesokan harinya.

Hasil bedah siasat ke atas tulang tersebut mengesahkan ia sebagai tulang manusia.

Penemuan tulang dipercayai mempunyai kaitan dengan misteri kehilangan seorang wanita Australia sejak keluar dari hotel penginapannya, pada 2017.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Jenkins Annapuranee, 65, keluar dari bilik hotel untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus.

Dilaporkan, selepas selesai rawatan, wanita itu meminta pekerja klinik memesan perkhidmatan Uber untuk ke rumah kebajikan Little Sister of Poor, Batu Lanchang di Air Itam.

Laporan berkata, ketika dalam perjalanan, wanita itu meminta pemandu Uber memberhentikannya di lampu isyarat di Jalan Scotland.

Bagaimanapun, demi keselamatan, pemandu itu memberhentikan kenderaan dalam kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ramakrisha.

Selepas itu mangsa hilang hingga ke hari ini.