Hidupkan kembali alat komunikasi Melayu klasik

Mohd Azwarin meniup tetuang yang dihasilkan daripada tanduk kerbau balau ketika matahari naik sekitar jam 7 pagi di pantai Mengabang Telipot, Kuala Nerus. - Foto NORHASPIDA YATIM
Mohd Azwarin meniup tetuang yang dihasilkan daripada tanduk kerbau balau ketika matahari naik sekitar jam 7 pagi di pantai Mengabang Telipot, Kuala Nerus. - Foto NORHASPIDA YATIM
A
A
A

KUALA NERUS – Inisiatif seorang lelaki 'menghidupkan kembali' alatan komunikasi tradisional Melayu klasik, tetuang atau bergoh yang dihasilkan daripada tanduk kerbau mendapat respons positif.

Aktivis seni dan kebudayaan, Mohd Azwarin Ahmed, 39, dari Kuala Terengganu berkata, simbol komunikasi tradisional Melayu yang popular dalam kalangan nelayan di Terengganu suatu ketika dahulu mempunyai daya tarikan dan peminat tersendiri.

Katanya, alatan yang menghasilkan bunyi melalui tiupan itu digemari pengumpul koleksi barangan antik, lebih-lebih lagi yang diperbuat daripada tanduk kerbau balau kerana ia agak sukar untuk diperoleh.

“Saya mengenali alatan ini ketika menghadiri majlis konvokesyen silat cekak pada tahun 1999. Kali pertama saya dengar bunyi tiupan alatan ini saya sudah mula tertarik.

“Selepas itu saya berusaha mencari maklumat mengenai tetuang sehingga ke Muzium Negeri Terengganu untuk mendapatkan informasi lebih lanjut. Saya jumpa alat ini di muzium, saya cuba tiup dan ia menghasilkan bunyi.

Tetuang popular dalam kalangan nelayan di Terengganu suatu ketika dahulu. - Foto NORHASPIDA YATIM
Tetuang popular dalam kalangan nelayan di Terengganu suatu ketika dahulu. - Foto NORHASPIDA YATIM

“Waktu tu saya rasa teruja dan bertambah minat untuk mendalami dan belajar menghasilkan tetuang memandangkan tidak ramai yang cenderung untuk teruskan tradisi menghasilkan alatan ini,” katanya ketika ditemui di Pantai Mengabang Telipot, di sini, hari ini.

Bapa kepada seorang anak yang merupakan bekas pelajar bidang tekstil di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, Kelantan ini berkata, dia telah menghasilkan sebanyak lima tetuang dan tiga daripadanya telah terjual.

Artikel Berkaitan:

Katanya, harga bagi setiap tetuang bermula RM150 hingga RM200 bergantung pada saiz dan tanduk yang digunakan.

“Bagi tanduk kerbau balau harganya agak mahal sedikit iaitu RM270 hingga RM300 kerana ia agak sukar diperoleh,” katanya yang mampu menyiapkan sepasang tetuang dalam masa seminggu.

Menyingkap sejarah penggunaan tetuang dalam kalangan masyarakat Terengganu, katanya, alatan itu menjadi simbol bagi nelayan untuk turun ke laut suatu ketika dahulu.

Bukan semua orang mampu meniup tetuang kerana ia bergantung kepada cara tiupan dan nafas seseorang. - Foto NORHASPIDA YATIM
Bukan semua orang mampu meniup tetuang kerana ia bergantung kepada cara tiupan dan nafas seseorang. - Foto NORHASPIDA YATIM

Selain itu, katanya, tetuang juga digunakan untuk menghalau haiwan liar atau perosak tanaman seperti babi bagi mereka yang tinggal di daratan.

“Bunyi tetuang akan ditiupkan sebanyak tiga kali iaitu tiupan kali pertama menggambarkan panggilan untuk menunaikan solat Subuh, tiupan kedua untuk nelayan berkumpul dan tiupan ketiga menandakan kumpulan nelayan telah turun ke laut.

“Begitu juga ketika pulang dari laut, nelayan akan meniup tetuang untuk menandakan mereka selamat pulang. Uniknya, bunyi tetuang ini akan didengari dan oleh para isteri dan mereka akan tahu suami mereka telah pulang berdasarkan perbezaan pada bunyi tiupan tetuang.

“Bagi sesetengah penduduk yang tinggal di luar kawasan pantai, mereka juga guna alatan ini antaranya untuk menghalau haiwan liar. Ia juga digunakan untuk memberitahu sesuatu khabar berkaitan kematian atau bencana,” katanya.

Menurut Mohd Azwarin, tidak semua mampu meniup tetuang kerana ia bergantung kepada cara tiupan dan nafas seseorang.

“Tetuang tidak mempunyai alat untuk bantu ia keluarkan bunyi kerana di dalamnya kosong. Ia bergantung kepada getaran bibir untuk hasilkan bunyi berpandukan saiz tanduk dan nafas peniup,” katanya.

Harga bagi setiap tetuang bergantung pada saiz dan tanduk yang digunakan. - Foto NORHASPIDA YATIM
Harga bagi setiap tetuang bergantung pada saiz dan tanduk yang digunakan. - Foto NORHASPIDA YATIM